Ulasan Review |
. | . |
Judul : Puteri Impian 2
Tahun : 1998
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman
Pelakon : Amy Mastura, Cico Harahap, Nuraliah Lee, Erma Fatima, Sarimah Ibrahim,
Azman Abu Hassan dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C
Kejayaan filem Puteri Impian telah mendorong untuk filem Puteri Impian 2 dihasilkan. Tidak dinafikan filem Puteri Impian bukan sahaja cukup berjaya di pasaran, ia juga antara filem Melayu terbaik yang berjaya dihasilkan tahun lepas.
Filem itu berkisar tentang kejayaan seorang gadis kilang memenuhi impiannya untuk menjalani kehidupan bagai seorang puteri raja dengan memasuki sebuah rancangan TV iaitu Memburu Impian.
Filem yang digarap secara komedi itu terasa menyegarkan dengan aksi yang sepontan dan arahan yang matang oleh Aziz M. Osman sendiri.
Dua watak yang begitu berkesan dan menarik dari filem itu adalah watak Tengku Nora yang dilakonkan oleh Amy Mastura dan Nancy seorang penerbit TV yang kreatif dan serius yang dilakonkan oleh Nuraliah Lee.
Filem Puteri Impian 2 tidak lagi berkisar tentang impian Nora tetapi ia kesan dari berhasilnya Nora memburu impiannya dalam program TV itu.
Dia bukan sahaja menjadi popular sehingga digilai oleh anak raja tetapi yang penting ia merubah terus kehidupan gadis kilang tersebut. Dia kini tidak lagi kembali ke kilang tetapi menjadi aset berharga stesen TV itu.
Dengan mempertaruhkan gadis itu, Nancy juga sebenarnya cuba mempergunakan kepopularan Tengku Nora dengan harapan berjaya mencipta kejayaan melalui sebuah lagi rancangan baru stesen TV tersebut.
Tidak dinafikan, filem sambungan kerana kejayaan filem yang terdahulu mungkin juga berjaya di pasaran kerana beberapa faktor yang menyumbang. Antaranya kerana populariti filem yang pertama, watak-watak yang sudah dikenal penonton, penonton ingin mengetahui cerita selanjutnya atau mengharapkan sesuatu yang lebih baru berlaku kepada watak harapan mereka. Dari segi pasaran juga filem sambungan lebih mudah dipasarkan kerana sejarah dan populariti filem yang pertama.
Bagaimanapun dari segi kreativiti ia membahayakan, filem sambungan selalunya menuntut lebih banyak kompromi. Ini yang berlaku di dalam Puteri Impian 2.
Filem sambungan memang selalunya lebih sukar. Ia perlu mengekalkan beberapa watak utama dan pada masa yang sama perlu mencipta jalan cerita baru, dan yang penting perlu ada perubahan pada watak dan keperluan dramatik.
Kegagalan sebahagian besar filem sambungan disebabkan mereka cenderung meletakkan watak-watak di dalam suasana dan struktur yang sama dengan filem yang pertama. Dan kelebihan filem sambungan, apa yang tidak dapat dilakukan di dalam filem asal dapat diadakan di dalam filem sambungan dan bermain dengannya.
Dalam Puteri Impian 2, Aziz mengembalikan tiga watak utamanya, Tengku Nora (Amy Mastura), Nancy (Nuraliah Lee) dan Zul (Cico Harahap) dan membawa masuk Suzanna (Erma Fatima) pembaca berita TV, Lisa (Sarimah Ibrahim) seorang petugas tv yang juga teman wanita baru Zul dan pengurus penerbitan TV (Azman Abu Hassan).
Bagaimanapun landasan cerita masih bertolak di sekitar hubungan antara Nora dengan Zul, dan Tengku Faisal yang masih memburu Nora (cuma kali ini dia diwakili oleh adiknya Tengku Farid). Untuk terus memberikan kesinambungan antara Puteri Impian yang terdahulu dengan yang ini, maka ceritanya masih berkisar dengan dunia penerbitan televisyen.
Cuma kali ini Nora menjadi salah seorang petugasnya (yang banyak membuat kesilapan). Tidak dinafikan, Aziz berjaya menghidupkan suasana dunia penerbitan TV yang begitu meyakinkan. Cerita diakhiri dengan Nora yang kembali kepada Zul dan menolak lamaran Tengku Faisal ke Los Angeles.
Ceritanya hampir sama, aksi-aksi watak utamanya biarpun diberikan beberapa perubahan sebenarnya masih lagi sama. Malah landas struktur ceritanya masih mengekalkan yang sama. Jadi apa yang baru dan berubah?
Selain suasana setting penerbitan TV yang mampu memberikan kesan dramatik yang diperlukan, Aziz memasukkan beberapa adegan komik untuk menghasilkan suasana komedi yang menarik.
Berbanding dengan Puteri Impian yang pertama yang mana komedinya lebih terasa menyegarkan dan spontan, komedi dalam filem sambungan ini terasa hilang kesegaran dan spontannya.
Puteri Impian 2 terpaksa mengekalkan struktur dan landas cerita lama untuk mengekalkan populariti, ini sebahagian besarnya kerana terpaksa berkompromi dengan keperluan komersial.
Kejayaan sebahagian besar filem sambungan adalah kerana keberanian mereka memecahkan kebuntuan lama atau mencari landas yang baru dan melakukan perubahan.
Bagaimanapun filem ini diselamatkan oleh kerja kamera yang cukup baik oleh Badar Azmi dan arahan Aziz M. Osman yang semakin matang. Apapun Puteri Impian 2 masih lagi antara filem tempatan yang baik telah dihasilkan tahun ini.
Sumber : Utusan Online 23/10/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |