Ulasan Review |
. | . |
Judul : Raja Melewar
Tahun : 1998
Pengarah : Jamil Sulung
Lakon Layar : Jamil Sulung
Pelakon : Eizlan Yusuf, Shaharuddin Thamby, Aziz Jaaffar, Norish Karman
dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-
Raja Melewar muncul setelah Malaysia agak lama tidak menghasilkan filem period atau yang berdasarkan dari sejarah. Hal ini mungkin kerana filem sejarah sering dianggap filem yang sukar dan memerlukan belanja yang besar untuk diterbitkan.
Sememangnya mentafsir semula peristiwa sejarah ke filem adalah sesukar mengadaptasi novel ke filem.
Malah usaha memberikan justifikasi terhadap peristiwa sejarah yang difilemkan itu lebih sukar lagi.
Ini kerana setiap peristiwa sejarah yang difilemkan akan memberikan perspektif baru terhadap peristiwa sejarah itu yang pastinya akan mengubah perspektif yang lama. Kerana itu tidak kurang juga sejarah yang difilemkan akan mengundang kontroversi dan debat terhadap tafsiran yang baru dibuat.
Ini kerana filem dikatakan sering memberikan tafsiran yang salah tentang sesebuah peristiwa sejarah yang diyakini selama ini dan filem dikatakan lebih mementingkan sensasi dan konflik dramatik yang wujud dalam peristiwa sejarah itu.
Kontroversi muncul kerana filem barangkali melihat sesuatu peristiwa dari sudut yang berbeza. Ini kerana sebuah peristiwa bersejarah boleh sahaja dilihat dari beberapa sudut yang berbeza.
Malah sebuah sejarah sebenarnya boleh sahaja didapati dalam pelbagai versi yang memungkinkan lagi tafsiran yang berbeza bila dilakukan oleh filem.
Sebuah sejarah apabila difilemkan adalah sebenarnya dari satu sudut pandangan seseorang yang pastinya terhad dan terpisah dari orang lain. Kerana itu pandangan itu boleh jadi betul secara umum dan boleh juga tidak tepat dalam beberapa hal tertentu.
Hal ini berbeza bila sejarah dibukukan kerana lebih banyak maklumat dapat dimuatkan. Filem sering membuat simplification dengan membuang atau mempermudahkan maklumat yang dianggap tidak membantu dalam membentuk unsur dramatik aspek penting dalam pembentukan naratif filem.
Raja Melewar adalah filem yang cuba menggalur semula tentang bagaimana sejarah Diraja Negeri Sembilan boleh bermula dari Pagar Ruyung Minangkabau di awal abad ke-18, hubungannya dengan Siak dan Riau.
Negeri Sembilan yang tidak mempunyai pemimpin dan menghadapi kekacauan dalam pentadbiran negeri terpaksa menoleh kepada Pagar Ruyung untuk mendapat seorang raja dan Pagar Ruyung mengirimkan Tengku Mahmud (Eizlan Yusuf) ke Negeri Sembilan untuk ditabal sebagai raja.
Plot diisi dengan beberapa konflik kecil antara Penghulu Naam (Aziz Jaaffar) dengan Sutan Karo (Shaharuddin Thamby) dan juga gangguan dari sekumpulan lanun yang cuba mengambil kesempatan dengan cuba menabalkan Raja Khatib. Tengku Mahmud akhirnya berjaya ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan diberi nama Raja Melewar.
Kepada yang hendak mengetahui sejarah kerabat Diraja Negeri Sembilan, filem ini barangkali dapat memberikan sedikit penjelasan. Bagaimanapun Raja Melewar sebagai sebuah filem memperlihatkan kelemahan dalam pendekatannya, terutamanya dalam pembinaan struktur naratif, rekaan set dan lakonan. Subjek utama filem ini adalah Tengku Mahmud (Raja Melewar) itu sendiri.
Tetapi bagaimana subjeknya hendak didekati dan watak-watak harus dibentuk seharusnya menjadi persoalan utama filem ini. Apakah Eizlan telah memberikan justifikasi sewajarnya tentang watak Raja Mahmud?
Demikian juga dengan watak-watak yang lain. Watak Raja Melewar ini akan kekal buat sementara dalam persepsi penonton sehingga suatu tafsiran baru watak ini dibuat.
Antara aspek penting yang seharusnya diberi tumpuan bila menghasilkan sebuah filem sejarah adalah aspek rekaan set dan juga perincian visual period yang hendak dirakamkan.
Raja Melewar nampaknya mengambil jalan mudah dengan menggunakan istana lama di Minangkabau sebagai set utama. Tidak ada usaha lebih untuk memberikan pencirian terhadap set yang digunakan.
Walaupun set istana tersebut boleh digunakan, ia sebenarnya memerlukan beberapa pengubahsuaian untuk menepati zaman abad ke-18 kerana set yang digunakan oleh filem ini kelihatan cukup moden.
Kita melihat bagaimana berkilatnya lantai, hiasan istana yang kelihatan serba baru dan berkemilau.
Kecantikan set sebenarnya tidak menepati kecantikan istana di zaman itu.
Suatu aspek yang lemah dalam filem ini ialah bagaimana warna dan kostum harus digunakan.
Apa yang dilihat dalam filem ini ialah hiasan yang sungguh berwarna-warni dan juga kostum yang serba ceria serta penuh warna.
Malangnya warna-warna yang digunakan tidak sesuai dengan mood yang seharusnya diwujudkan dalam filem ini. Tidak ada satu konsep jelas tentang warna tema dalam filem ini. Akibatnya dari segi visual filem ini gagal memberikan mood dan konsep yang seharusnya ada dari sebuah filem period.
Sumber : Utusan Online 5/6/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |