Ulasan
Review
. .

Judul : Sara
Tahun : 2001
Pengarah : Along Kamaruddin
Skrip : Yasmin Yaacob
Pelakon : Ida Nerina, Shamsul Ghau Ghau, Zahim Albakri, Hisham Ahmad Tajudin, Soosan Hoh dan lain-lain

Pengulas : 


Sara kisah 2 budaya

Lihat tagline ini, ”Penampilan pertama Shamsul Ghau Ghau dalam watak tegas dan pendiam.”

Bolehkah pelakon yang dikenali dengan imej lelucon sejak kemunculan pertama dalam bidang seni membawa watak sedemikian yang sudah tentu berat untuk dijiwai?

Namun, Shamsul mampu membawa watak Manaf iaitu seorang pemuda kampung yang simple tetapi tegas dalam pendiriannya dan menyayangi alam sekitar yang menjadi miliknya.

Cuma ada beberapa kelemahan pada gerak mahupun mimik mukanya kerana masih terbayang imej pelawak yang sudah menebal dalam dirinya. Mungkin Shamsul boleh merubah persepsi itu selepas dua atau tiga filem serius lain selepas ini.

Sebenarnya kehadiran Ida Nerina yang memegang watak seorang ahli perniagaan yang mementingkan diri sendiri iaitu Sara banyak membantu mengukuhkan jalan cerita filem ini.

Walaupun tanpa aspek komersil untuk ‘menjual’ Sara namun filem arahan sulung Along Kamaludin boleh diberi pujian kerana ia berbeza berbanding filem Melayu lain.

Along cuba mengutarakan persoalan tanah pusaka yang menjadi identiti masyarakat Melayu dari dulu hingga sekarang. Sama ada ia perlu dipertahankan atau dijual untuk mengaut wang ringgit.

Biarpun wujud kesinambungan yang baik dalam Sara namun perjalanan jalan cerita dari satu plot ke plot lain dengan sisipan sub plot untuk ke klimaks kurang kemas.

Masih ada unsur bosan kerana jalan cerita lembab dan tumpuan terhadap sesuatu watak itu agak meleret biarpun Along cuba menghuraikannya demi kefahaman penonton.

Lakonan Eja sebagai Rozita iaitu sepupu Manaf kurang menyerlah. Kebolehannya menjadi pelakon layar perak tidak diasah dengan baik biarpun mempunyai bakat yang boleh digilap.

Manakala penampilan Soosan Hoh (Cathy) sebagai rakan baik Sara juga kurang menonjol. Cuma jenaka spontan Ropie Cecupak dan Loloq mampu mengundang ketawa penonton. Kehadiran mereka sekurang-kurangnya mewarnai Sara.

Watak lelaki tua kurang siuman lakonan Zami Ismail menjadi tanda tanya. Dia hanya melontarkan dialog, ”Lang dah dapat.” Sukar untuk diertikan maksudnya dan rasanya tiada keperluan (mungkin sebagai penyeri).

Unsur romantik tidak ditonjolkan keterlaluan kerana Manaf dan Sara bercinta dalam diam. Hanya lirikan mata dan renungan kedua-dua insan ini menjadi simbol.

Tidak keterlaluan dikatakan filem ini hanya memberi kepuasan sesetengah pihak. Penonton remaja mungkin mengharapkan lebih daripada itu iaitu percintaan yang mengasyikkan.

Cuma terkilan dengan kreativiti pasukan Along yang tidak mengekploitasi keindahan dan kehijauan Tasik Chenderoh,Perak.

Sara berkisar mengenai pertembungan dua budaya antara masyarakat kota yang materialistik dan orang kampung yang masih mengamalkan adat resam.

Ia bukan sekadar percubaan mendapatkan tanah milik orang lain tetapi sikap degil Sara yang bertegas membeli tanah itu untuk dimajukan.

Bapanya, Kassim (Hisham) berjaya ‘mengapi-apikan’ Sara untuk mendapatkan tanah itu kerana mahu mempertemu dan merapatkan hubungan Sara dengan tuan punya tanah itu, Manaf.

Kassim harap Manaf dapat mengubah sikap Sara menjadi gadis bersopan dan tidak mementingkan diri. Sara tidak menyedari tujuan sebenar bapanya melakukan pelbagai usaha memiliki tanah itu hingga sanggup mengahwini Manaf.

Mereka berkahwin dan Sara hamil. Sara kemudiannya tersepit antara ego dan cintanya kepada Manaf. Mereka terus berbalah dan bercanggah fikiran dalam sesuatu keadaan.

Sara menghadapi dilema antaranya rancangannya bersama Johan atau cinta terhadap Manaf.

Sumber : Harian Metro Online 29/6/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001