Ulasan Review |
. | . |
Judul : Sara
Tahun : 2001
Pengarah : Along Kamaruddin
Skrip : Yasmin Yaacob
Pelakon : Ida Nerina, Shamsul Ghau Ghau, Zahim Albakri, Hisham Ahmad Tajudin,
Soosan Hoh dan
lain-lain
Pengulas : Akmal Abdullah
Isu lapuk tetapi corak persembahan baru. Namun, tema yang dipaparkan dalam filem sulung arahan Along Kamaluddin, Sara jelas masih relevan dengan suasana semasa - permasalahan yang tidak pernah berkesudahan kerana persoalan hak milik tanah sentiasa menjadi isu sejagat.
Sara menghantar topik berat tetapi dipersembahkan dalam nada ringan – komedi romantik. Situasi komedinya terkawal, berfokus dan berunsur falsafah serta ada kritikan sosial. Malah, nyawa filem itu banyak bergantung pada aksi wataknya yang bijak berinteraksi dengan situasi bersama dialog segar.
Mengambil kira filem itu sebagai karya pertama Along di layar perak, ia boleh diberi pujian meskipun unsur drama TV kelihatan masih mendominasi beberapa babak filem itu tetapi keseluruhan visual filem itu masih terserlah sebagai big screen images.
Sara tidaklah begitu menampilkan kejutan. Ceritanya biasa tetapi garapannya agak baik. Ia tetap seronok ditonton jika penonton mahukan kelainan persembahan sebagai sebuah filem Melayu.
Ceritanya yang biasa itu pula mampu diperkuat dengan konflik, suasana dan peristiwa baru. Malahan, babak percintaan yang dimuatkan meskipun ala filem Hindi tetapi ia kelihatan menarik.
Kelibat pelakon utamanya, Shamshul Ghau Ghau dan Ida Nerina ada tarikannya biarpun dua pelakon itu buat pertama kali digandingkan sebagai peneraju watak. Jika ditanya sama ada gandingan mereka serasi, jawapannya ia tidaklah sampai pada tahapnya tetapi kombinasi mereka banyak mencapai kesempurnaan pada bahagian akhir filem ini.
Sampai satu peringkat, Sara tetap mengundang estetikanya kerana dapat menyentuh jiwa penonton. Filem ini masih mampu mengajak penonton berfikir jika nawaitu memasuki pawagam bukan sekadar untuk berhibur. Satu kesimpulan ialah Sara tampil dengan imej komedi yang bukan slapstik, ada kejujurannya dan bersifat matang.
Sokongan pelakon pembantu seperti Loloq, Ropie Cecupak, Zahim Albakri dan Siti Eja tidak membosankan. Penampilan mereka ‘hidup’ dan banyak membantu menceriakan situasi komedi. Shamshul dan Ida pula tidak banyak bergaya komedi tetapi dialog mereka diperkuat dengan unsur komedi. Lakonan Loloq, Ropie, Hisham dan Eja tidak begitu mencabar dan berada pada tahap biasa sebagai yang pernah dilihat aksi mereka dalam drama atau sitkom.
Shamsul berupaya membawa peranan sebagai pemuda serius, banyak berfikir dan tegas – menyimpang daripada imej kekalnya sebagai pelawak seperti yang dikenali sebelumnya. Ida pula masih dengan corak lakonan bermutu biarpun dia sebenarnya lebih berkesan membawa watak berat dan serius.
Dalam Sara, kekuatan lakonan Ida paling terserlah pada babak dia bertengkar dengan Shamshul dan ketika dia menangis. Itulah sebenar lakonan Ida jika mahu dibandingkan keterpaksaannya untuk tampil dengan gelagat komedi.
Dalam kesibukan tumpuan pada dua watak lain, kehadiran Zami Ismail dengan imej watak lelaki tua yang ‘biol’ nyata memberi kejutan. Zami berjaya menghidupkan wataknya dengan bersahaja kerana imej wataknya itu langsung tidak memperlihatkan bayangannya sebagai Pak Uda dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Plot Sara bergerak lurus iaitu permasalahan ditumpukan kepada subjek ceritanya yang berkisar soal mendapat dan mempertahankan tanah. Akibatnya, cerita filem ini mendatar kerana tidak ada subplot yang kuat, cuma dimasukkan serpihan subplot apabila dipaparkan sedikit konflik kasih sayang antara Rozita (Eja) dengan Manaf (Shamshul).
Kelemahan filem ini ialah pada mood yang tidak konsisten. Sepanjang 30 minit hingga 45 minit permulaan filem ini, ia bergerak dalam suram dan meresahkan penonton. Gerak ceritanya pada bahagian ini tidak dalam phasing yang baik, mungkin disebabkan suntingan. Namun, pada 45 minit terakhir, Sara bergerak dalam keadaan bertenaga, dramatiknya ‘menjadi’ dan klimaksnya tercapai.
Sinematografi dalam Sara juga wajar diberi pilihan. Ia mampu memanfaatkan suasana kawasan berdekatan tasik, hutan, air terjun dan perkampungan Orang Asli. Kerja kamera yang didokong oleh Indra Che Muda (pengarah fotografi) dilihat satu hasil kerja teliti, kemas dan terkawal, biarpun kelemahan masih ada pada kawalan cahaya yang tersasar pada kebanyakan babak. Indra bijak memilih sudut yang baik dan mampu membangkitkan kesegaran visualnya.
Sara menemui penonton di seluruh negara sejak 28 Jun lalu. Filem yang menelan kos RM1 juta itu diterbitkan Tayangan Ungul, anak syarikat Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd.
Ia mengisahkan pertembungan antara masyarakat kota yang mementingkan soal perniagaan manakala masyarakat kampung yang tetap mempertahankan harta warisannya.
Manaf ialah pemuda yang tinggal di sebuah kampung di pinggir kawasan tasik. Dia setia untuk menetap di tanah pusaka neneknya dengan mendirikan calet untuk pemancing di situ. Dia cintakan kedamaian alam sekitar dan bertekad untuk terus menetap di kampung.
Kampung Tasik yang diduduki Manaf bersama saudara mara dan kawan-kawannya didatangi jururunding hartanah dari Kuala Lumpur, Maisara dan Johan. Mereka mahu berunding dengan Manaf untuk membeli tanah miliknya itu bagi dibangunkan sebuah kawasan pelancongan yang turut disediakan padang golf.
Konflik berlaku kerana Manaf tetap dengan pendiriannya, sementara Maisara atau Sara juga tetap berazam untuk mendapatkan tanah milik Manaf. Sampai satu peringkat, Sara sanggup mengahwini Manaf semata-mata atas dorongan untuk dapat menguasai tanah Manaf bagi projek perniagaannya.
Namun, keadaan sebaliknya berlaku. Apa yang dirancang tidak semuanya menjadi tetapi ia bertukar menjadi sesuatu yang lebih indah.
Sumber : Berita Minggu 1/7/2001
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |