Ulasan
Review
. .

Judul : Sara
Tahun : 2001
Pengarah : Along Kamaruddin
Skrip : Yasmin Yaacob
Pelakon : Ida Nerina, Shamsul Ghau Ghau, Zahim Albakri, Hisham Ahmad Tajudin, Soosan Hoh dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Sara -- Karya generasi muda

Kita selalu percaya industri filem negara ini hanya dapat dibangunkan semula melalui filem-filem yang dihasilkan oleh pengarah muda. Pengarah muda menghasilkan filem dengan keberanian, persepsi dan keyakinan yang baru.

Keadaan inilah yang sedang berlaku di Thailand atau Jepun sekarang ini malah di China juga sedang muncul pengarah generasi muda yang memanggil diri mereka generasi keenam. Industri filem tempatan harus bersedia menggalakkan lebih ramai pengarah muda yang sedemikian untuk mereformasikan industri filem.

Along Kamaludin adalah pengarah muda yang bermula dari televisyen. Dia lebih awal dikenali sebagai pelakon sebelum mengarahkan beberapa buah drama untuk televisyen. Televisyen sebenarnya boleh menjadi pemangkin untuk industri filem tempatan.

Ramai pengarah muda yang berjaya muncul selepas menghasilkan drama-drama untuk televisyen. Bagaimanapun kejayaan menghasilkan drama-drama untuk televisyen bukan bermakna dengan mudah pula mampu menghasilkan filem yang baik.

Ia tidak boleh dilakukan dengan hanya bersandarkan nama besar pelakon atau bintang popular, kos yang besar atau teknologi pembikinan, tetapi ia memerlukan pemahaman dan persepsi si pengarah terhadap karyanya. Keupayaannya menukang krafnya dengan baik menjadi penentu kejayaannya.

Sara dihasilkan berdasarkan dari skrip asal oleh Yasmin Yaacob. Subjek yang dikemukakan sebenarnya telah puluhan kali diutarakan dalam drama-drama televisyen. Soal tanah orang kampung yang mahu dipertahankan dari tergadai kepada sebahagian orang kota yang digambarkan rakus.

Lebih buruk apabila orang kota ini digambarkan dengan keangkuhan dan kebodohannya yang tersendiri apabila masuk ke kampung. Dan akhirnya mereka insaf dengan keangkuhan mereka itu di hujung cerita. Sikap dan persoalan yang sudah klise sebenarnya.

Subjek yang berulang bukanlah punca kelemahan sesebuah filem. Subjek yang sama akan berbeza di tangan orang yang lain. Dunia tidak mempunyai banyak plot cerita, tetapi apa yang penting adalah pemahaman dan keupayaan kita mengolah sesebuah plot cerita.

Tanpa sensitiviti dan kreativiti ia akan hanya menjadi pengulangan yang basi. Ini sebenarnya yang berlaku dalam Sara. Subjeknya boleh menjadi sebuah cerita yang menarik, persoalannya masih relevan tetapi olahan watak dan peristiwa yang tidak teliti dan lemah telah mengacau filem ini.

Sara (Ida Nerina) adalah gambaran wanita muda yang dinamis, agresif dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mencapai apa yang dimahukan. Dia bercita-cita mahu membeli tanah orang kampung untuk dimajukan menjadi sebuah calet percutian yang hebat.

Manakala Manaf (Shamsul Ghau-Ghau) adalah pemuda kampung yang mempunyai kekuatan untuk mempertahankan tanah pusaka dan pada masa yang sama berjiwa seni sebagai seorang pelukis. Menyedari keindahan persekitaran tasik di kampung itu, Manaf membuka calet kecil yang sesuai untuk bercuti dan memancing. Untuk mencapai cita-citanya, Sara sanggup bermain untuk berkasih dengan Manaf, manakala Manaf pula berusaha untuk menyedarkan ego si Sara.

Ideanya menarik tetapi pembinaan watak dan perkembangan hubungan kedua-dua watak ini yang sehingga membawa ke perkahwinan mereka, kacau dan tidak jelas. Perubahan psikologi watak tidak ditangani dengan baik dan diolah dengan meyakinkan. Konflik antara dua watak ini seharusnya mampu menimbulkan konflik dramatik yang lebih besar dan kuat.

Komedi yang baik juga memerlukan unsur dramatik dan tragedi yang kuat, tanpa ini komedinya mendatar dan lemah. Kelemahan ini dikacau pula dengan kehadiran watak-watak lain yang tidak diolah dengan baik untuk membantu memperkuatkan plot filem. Watak Kassim (Hisham Ahmad Tajudin) sebagai bapa yang merangsang cita-cita anaknya Sara tetapi kemudian tenggelam dalam hubungan antara Manaf dan Sara.

Begitu juga kemunculan Loloq dan Rofie sebagai teman Manaf hanya sekadar untuk menimbulkan ketawa dalam babak-babak tertentu tetapi keseluruhan peranan mereka tidak jelas dan tidak diharap dengan baik untuk membantu memperkuat watak Manaf dan plot filem ini. Kemunculan Zami Ismail sebagai lelaki tua tidak siuman lebih banyak menimbulkan persoalan dari kemungkinan kelucuan yang terhasil darinya, malah keupayaan lakonannya dibazirkan dalam filem ini.

Pertembungan dan dilema antara dua watak yang mewakili dua budaya kehidupan yang berbeza (kota dan desa) seharusnya mampu menghasilkan komedi yang memikat dan kerana matlamat yang berbeza itu juga mampu menghasilkan konflik dramatik yang menghidupkan filem ini.

Jika hal ini dapat dilakukan dengan baik dalam filem ini, Sara pasti sebuah filem yang cukup menarik. Apatah lagi keindahan pemandangan tasik yang digambarkan dalam filem ini mampu memberikan mood yang romantis dan sekali gus dramatik. Satu imej yang menarik dalam filem ini apabila pokok di sekeliling calet Manaf dihias dengan lampu neon di waktu malam dan set makan malam ala Barat menjadi gambaran sinis dan ironi kepada ketibaan Sara ke kampung itu.

Gambaran ini adalah imej palsu yang selalu digambarkan untuk adegan di bandar. Keindahan tasik yang digambarkan dengan cukup baik dalam filem ini menjadi sebab mengapa saya bertahan menonton filem ini.

Sumber : Utusan Online 6/7/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001