Ulasan
Review
. .

Judul : Sembilu II
Tahun : 1995
Pengarah : Yusof Haslam
Lakonlayar : Yusof Haslam
Pelakon : Awie, Erra Fazira, Ziana Zain, Mustapha Kamal, Alice Voon, Zulkefli Khan, Noraini Hashim, Khairil Anwar dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : **


Masih guna formula lama...

Sembilu II Filem Sembilu yang pertama arahan Yusof Haslam mencatat sejarah filem Melayu bila menerima kutipan paling tinggi di pasaran, lebih dari RM4.5 juta.

Kejayaan tersebut segera menjadi dasar untuk menghasilkan filem Sembilu II. Untuk menghasilkan filem sekuel atau sambungan tidak mudah dan usaha itu sering pula gagal. Formula yang dikatakan menjadi punca kejayaan filem yang pertama bukan pula dasar yang akan memastikan ulangan kejayaan kepada filem sekuel. Lihatlah filem-filem sekuel, The Godfather mungkin contoh yang klasik tetapi sebahagian besar filem sekuel gagal mencapai kekuatan filem yang pertama.

Banyak filem sekuel menemui kegagalan kerana mereka cuba mengulang bentuk yang terdahulu, meletakkan watak-watak dahulu ke dalam keadaan yang sama atau situasi yang sama. Dengan struktur naratif yang sama dan aksi yang hanya diberikan sedikit perubahan, secara dasarnya mereka hanya menulis semula cerita yang sama.

Inilah yang membezakan filem The Godfather dengan The Godfather Part II. Biarpun temanya masih diteruskan tetapi The Godfather Part II dihasilkan dengan lebih intelektual, dengan lakonlayar yang menghasilkan plot yang jauh lebih baik dan hasilnya filem sekuelnya memenangi lebih banyak anugerah dari yang pertama.

Yusof agaknya cukup yakin dengan formula yang menentukan kejayaan 'komersil' filemnya Sembilu pertama. Maka apa yang dilakukan oleh Yusof dalam Sembilu II adalah cuba mengekalkan formula dan struktur naratif yang telah membawa kejayaan 'komersil' kepada Sembilu pertama.

Dia masih mengekalkan watak-watak utama dahulu kecuali memasukkan satu watak baru Syamsul (Zulkefli Khan) yang berusaha memikat Wati (Erra Fazira) setelah Wati tamat universiti lalu menguruskan perniagaan keluarga yang ditinggalkan oleh abangnya Azman (Mustapha Kamal). Ziana (Ziana Zain) rakan nyanyi Awie masih berusaha dengan pelbagai cara untuk memikat Awie.

Wati yang menjadi kekasih Awie masih juga dengan sikap cemburunya yang akhirnya memaksa dia memilih Syamsul walaupun kemudian dikesalinya.

Dalam Sembilu II apa yang kita lihat watak-wataknya masih berlegar pada tempat dan aksi cerita yang tidak berubah.

Filem dibuka dengan menunjukkan Azman berada dalam kurungan penjara dalam keadaan murung yang amat sangat dan kemudian adegan beralih kepada Awie yang sedang memandu yang kemudian menghubungi Wati di pejabatnya.

Cerita seterusnya berjalan dalam konflik hubungan Awie dan Watie yang sebenarnya tidak jelas dan tidak diberikan alasan dan ransangan secukupnya mengapa sesuatu perkara atau tindakan itu dilakukan.

Azman ditunjukkan menghadapi masalah psikologi yang amat berat hingga riak dan cebik wajahnya (dalam bentuk lakonan yang buruk) sentiasa dalam tekanan apabila melihat adiknya Wati dan bila mendengar nama Awie.

Hingga ada adegan Azman bermimpi untuk mewajarkan adegan pergaduhan antara Azman dan Awie yang mana kononnya Azman mahu menyelamatkan adiknya dari diperkosa Awie dan Azman terbunuh.

Alangkah mudahnya. Dan adegan mimpi yang serupa diulang kepada watak Ziana yang juga tertikam oleh pengurusnya (Khairil Anwar) pada waktu Ziana cuba menyelamatkan Awie.

Satu lagi adegan yang hendak menunjukkan kesan dramatik dan konflik dalam filem ini adalah pada waktu Ziana diburu oleh seorang peminat misteri di hotel.

Ziana sempat menyelamatkan diri di dalam bilik Awie dan bila hendak keluar dari bilik itu mereka diserbu oleh pegawai agama lalu mereka dituduh berkhalwat (helah yang dirancangkan oleh Ziana).

Kita faham kesan yang hendak ditunjukkan oleh Yusof dengan adegan ini iaitu untuk mewajarkan tindakan Erra berkahwin dengan Syamsul.

Sayangnya adegan-adegan ini sekadar menunjukkan kelemahan yang cukup ketara dalam pembinaan plot Sembilu II.

Malah kita hairan bagaimana Wati dengan kelulusan akademiknya yang tinggi boleh bertindak sedemikian mudah dan kesan yang lebih memalukan adalah cara kumpulan pegawai pencegah maksiat digambarkan.

Mereka menjadi pegawai yang bodoh, yang digambarkan begitu mudah terpedaya dengan tipu helah dan bertindak tanpa usul periksa. Gambaran dan adegan yang tidak seharusnya dilakukan kalau Yusof lebih teliti dalam menulis lakonlayarnya.

Sembilu II bukan sahaja meneruskan kelemahan plot yang jelas pada Sembilu yang pertama tetapi turut dilemahkan oleh lakonan yang buruk.

Lebih mengecewakan adalah aspek fotografi, dalam beberapa adegan diberikan orientasi kamera yang salah dan pemahaman aspek pencahayaan yang lemah dan mengelirukan.

Lihat bagaimana adegan malam diadakan, punca cahaya dari belakang yang terang benderang sekadar memberikan kesan sebaliknya.

Filem ini turut dikecewakan oleh aspek suntingannya. Antaranya mengapa perlu diadakan suntingan selari semasa adegan majlis hari jadi Alice Voon dengan adegan Awie bermain muzik.

Cara penggambaran dan suntingan dibuat menyebab adegan-adegan ini seperti berada di tempat yang sama dan kesan yang hendak ditimbulkan dalam adegan ini jadi mengelirukan.

Saya menonton Sembilu II dengan penuh kekhuatiran. Kejayaan hebat Sembilu yang terdahulu menyebabkan pengarahnya begitu yakin dengan formulanya iaitu kisah cinta, lagu dan dihiasi oleh pelakon/penyanyi popular dalam melodrama khayalan ala Bombay.

Formula yang dianggap komersil ini meletakkan selera penonton sebagai sandarannya.

Apa yang dikatakan 'komersil' selalunya menjadi musuh utama pada kreativiti kerana 'komersil' selalunya tidak membenarkan perubahan pada struktur atau 'formula' yang dikatakan telah terbukti berjaya.

Dan kekhuatiran saya terjawab bila Sembilu II hanya berlegar dalam persoalan yang sama tanpa ada usaha untuk bergerak jauh dari struktur cerita yang dahulu.

Atau mungkin juga saya silap dari telahan dan formula Yusof benar bahawa memang selera penonton filem tempatan tidak menggemari kreativiti dan perubahan.

Sumber : Utusan Malaysia 15/6/1995

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001