Ulasan Review |
. | . |
Judul : Senario Lagi
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman
Skrip/Lakon Layar : Aziz M. Osman
Pelakon : Kumpulan Senario, Syanie, Umie Aida, Al Hariz Ismail, Siti Nora dan
lain-lain
Pengulas : Hardi Effendi Yaacob dan Hanisah Selamat
Bukan mesej menunjangi filem komedi terbaru Senario Lagi, sebaliknya jalinan plot mudah yang mampu mengajak penonton ke pawagam.
Tidak perlu memikirkan soal kemuncaknya jika berpeluang menonton filem arahan Aziz M. Osman itu kerana jalan ceritanya berlangsung mengikut kronologi atau perjalanan yang teratur.
Persoalan yang diketengahkan nampak remeh, hanya mengenai kecurian kereta hingga mempertemukan satu keluarga yang juga pemilik kenderaan itu dengan beberapa lelaki.
Namun, lakonan barisan anggota Senario; Wahid Mohamad, Yassin Yahaya, Saiful Azam Yusuf, Mazlan Ahmad dan Azlee Jaafar tidak mengecewakan selain dapat menghidupkan suasana komedi secara semula jadi.
Bermula dengan kehilangan kereta, setiap kejadian digarap sebaik mungkin dengan membawa masuk watak tukang tarik kereta (Mazlan), pencuri (Wahid), pemuda Indonesia (Yassin), mangsa kemalangan (Saiful) dan gadis penggoda, Linda lakonan Umie Aida.
Rancangan percutian yang diaturkan Azlee bersama isteri dan anaknya, Zati (Syanie Hisham) serta Zali (Al-Hariz Ismail) tergendala berikutan beberapa insiden membabitkan kenderaan baru mereka yang sebenarnya masih di bawah tanggungan syarikat kewangan.
Malangnya, Wahid melarikan kenderaan itu hingga memaksa Azlee sekeluarga, Mazlan dan seorang lelaki yang dilanggarnya ikut mencari pencuri terbabit.
Dari situ berkembanglah babak yang dikupas menerusi insiden kebetulan walaupun hakikatnya mustahil bertemu semula beberapa orang yang baru dikenali dalam satu masa, membabitkan peristiwa sama.
Di situ pengarah cuba melupakan sejenak soal logik apabila membawa tumpuan penonton kepada dialog serta aksi lucu yang ditampilkan menerusi perwatakan pelakonnya.
Melihat wajah anggota Senario saja sudah menerbitkan rasa geli hati apatah lagi jika mereka mula mengeluarkan patah perkataan. Jelas kali ini mereka tidak perlu menggunakan lawak dua makna untuk mengajak penonton ketawa.
Tanpa binaan cerita yang kukuh, Aziz bijak mengeksploitasi kebolehan pelakonnya menggunakan kaedah mereka sendiri terutama rias wajah, aksi serta luahan dialog.
Sedar atau tidak, semua watak ditonjolkan sama rata. Tiada istilah superstar dalam filem yang skripnya ditulis oleh pengarah muda berkenaan.
Begitu juga dengan watak penggoda, Linda. Tanpa pakaian yang mendedahkan Umie Aida melakonkan peranan dengan berkesan, cukup sekadar lirikan matanya.
Sebelum ini, kebanyakan drama atau filem Melayu menampilkan watak penggoda yang stereotaip. Persamaan dapat dilihat dari segi pemilihan pakaian, aksi lentuk atau suara manja.
Begitupun, agak pelik seorang gadis berani mengambil risiko mengurat suami orang yang baru dikenali beberapa hari malah tampil memberitahu hasrat rela bermadu.
Watak Syanie sebagai isteri juga membantu menghidupkan filem komedi situasi itu. Kesedihan apabila mengetahui suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain digambarkan menerusi tangisan yang diringi irama sentimental.
Zati digambarkan sebagai isteri penyabar walaupun kadangkala naik angin dengan sikap suami yang pantang melihat wanita berdahi licin. Emosi cemburu isteri bertubuh sihat itu terserlah daripada raut wajahnya.
Bagaimanapun, penampilan beberapa pelakon popular sebagai undangan yang hanya muncul seketika ibarat masuk tak tambah, pergi tak luak. Peranan mereka sekadar penyeri filem.
Antaranya Jalaluddin Hassan, Lydiawati, Nina Juren Haniff, Nur Aliah Lee Abdullah, Ahmad Idham, Mustapha Kamal, Zulkifli Zain, Azhar Sulaiman, Amy Mastura, Pansha dan Effa Ismail.
Tidak lari daripada filem Hindi, Aziz mengetengahkan lagu berentak ala Hindi lengkap dengan tarian. Sesuai dengan kehendak skrip dan kena susunan plotnya, kemasukan lagu menambah keceriaan kisah.
Gabungan irama dan tarian digarap dalam adegan mimpi serta khayalan watak. Kelebihan suara Umie Aida serta Syanie yang boleh menyanyi juga seolah-olah menjadi pakej pemilihan mereka.
Selain itu, mainan sudut kamera berperanan penting bagi menampakkan paparan gambar menarik terutama ketika aksi mengejar kereta yang dicuri di kawasan ladang getah.
Umpama pelumba profesional, Umie dilihat berjaya mengawal kenderaan dengan baik. Adegan sekumpulan penunggang motosikal jatuh bergelimpangan juga nampak realistik ditambah dengan letupan yang agak kuat.
Namun kelalaian ketika penggambaran dilihat dengan jelas apabila nampak bayang hitam di sudut gambar. Walaupun hanya sepintas lalu, kesilapan itu menampakkan kelalaian kerja produksi.
Secara keseluruhan filem Senario Lagi sesuai untuk tontonan mereka yang menggemari lawak bersahaja. Tetapi, jangan andaikan ia susulan Senario The Movie kerana cara pengolahan amat berbeza walaupun dihasilkan pengarah yang sama.
Sumber : Berita Minggu 21/5/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |