Ulasan
Review
. .

Judul : Senario Lagi
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman

Skrip/Lakonlayar : Aziz M. Osman
Pelakon : Kumpulan Senario, Syanie, Umie Aida, Al Hariz Ismail, Siti Nora dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Senario Lagi komedi slapstik terkawal

Senario Lagi Filem Senario The Movie yang berdasarkan kumpulan komedi popular Senario yang ditayangkan kira-kira setahun yang lepas telah mencapai kejayaan luar biasa di pasaran. Filem itu berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM5.2 juta. Kejayaan besar ini mendorong penerbitnya Grand Brilliance dan pengarah Aziz M. Osman menghasilkan siri kedua filem ini.

Tetapi biarpun mengekalkan kumpulan pelakon komedi yang sama, filem ini bukanlah sebuah sekuel kepada filem yang pertama dahulu. Ceritanya sudah berbeza, malah lebih mantap.

Aziz mengambil konsep mengekalkan nama sebenar setiap ahli kumpulan Senario ini. Dengan mengekalkan nama sebenar setiap ahli kumpulan ini, ia bermaksud supaya penonton yang sebahagian besarnya merupakan peminat setia kumpulan ini terutama kanak-kanak akan dapat menghubungkan identiti watak dengan identiti ahli kumpulan itu.

Apa yang perlu dilakukan oleh setiap ahli kumpulan Senario ini adalah melakonkan watak-watak yang diberikan yang sekali lagi tidak juga sebenarnya menuntut ketelitian dalam lakonan.

Hal ini berbeza kepada pelakon yang bukan daripada ahli kumpulan Senario seperti Umie Aida, Syanie Hisham dan lain-lain yang perlu melakonkan watak mereka dengan baik dan terkeluar daripada identiti diri mereka. Biarpun Wahid melakonkan watak seorang pencuri kereta yang licik, Mazlan sebagai ejen tarik kereta,Azlee sebagai suami Zati (Syanie Hisham) yang terpikat dengan kecantikan Linda (Umie Aida) seorang penyanyi kelab malam yang seksi.

Yassin sebagai pemuda Indonesia dan Saiful sebagai anak muda tidak tahu apa-apa dan terseret ke dalam konflik pertikaian antara Azlee, Mazlan dan Wahid.

Bagaimanapun, mereka masih mengekalkan identiti diri dan lakonan masing-masing supaya penonton dapat mengenali mereka sebagaimana ahli kumpulan Senario. Dan inilah juga yang dimahukan oleh penonton. Kekalkan identiti dan gaya lakonan mereka dalam Senario, tetapi membawakan watak yang lain dalam filem ini.

Konsep lakonan yang sebegini sebenarnya telah lama dilakukan oleh kumpulan Senario dalam episod-episod komedi mereka yang ditayangkan oleh TV3.

Konsep yang sama sebenarnya telah dilakukan dengan jayanya oleh P. Ramlee dalam filem siri Bujang Lapok.

Dalam filem Senario Lagi ini, Aziz membina jalan cerita yang mudah, peleraian konflik juga tidak dramatik. Ia mengisahkan Azlee yang membeli sebuah kereta terpakai (sebenarnya kereta curi yang belum habis ansurannya) untuk membawa keluarganya bercuti ke Cherating. Di pertengahan jalan, dia terpikat dengan Linda yang juga telah jatuh hati dengan Azlee.

Pada masa yang sama, Mazlan juga sedang mencari kereta yang dibeli oleh Azlee untuk ditarik kerana ansuran yang belum selesai.

Malangnya, kereta itu pula dicuri oleh Wahid. Dalam drama buru dan kejar ini mereka ditumpangi oleh Yassin seorang pemuda Indonesia yang hendak ke pantai timur dan Saiful yang terbabit dalam kemalangan dengan Azlee dan mahu menuntut ganti rugi daripadanya.

Mereka semua akhirnya bertemu di hotel tempat Linda menyanyi dan konflik hubungan tiga segi antara Azlee, Linda dan Zati juga menemui kemuncaknya di sini.

Cerita yang mudah, tidak kompleks dan adegan dibina cukup untuk menyokong kelucuan yang bakal muncul.

Komedinya adalah komedi slapstik, bentuk komedi yang selama ini menjadi identiti kumpulan Senario, tetapi berjaya mengawal gerak lakon komedi dengan membentuk suasana adegan yang seimbang dan baik. Sungguhpun terdapat adegan lucu yang agak kasar seperti adegan minum air kencing dalam botol yang jelas ideanya diambil daripada salah satu adegan dalam filem Dumb and Dumber.

Secara disedari, pengarah memang sengaja merangka cerita dan plot yang sedemikian. Adegan yang banyak secara kebetulan, dibuat-buat dan tidak logik sengaja dilakukan dengan sedar dan pengarah melalui watak Zati jelas memberitahu penonton dalam satu adegan di hadapan balai polis. Dan adegan mereka semua membuat aksi di depan kamera memperjelaskan konsep ini.

Namun ini tidak bermakna Aziz tidak memberikan lansung komentar sosial dalam filem ini. Malah, secara jelas, kita melihat Aziz memperolokkan minat melampau masyarakat Melayu di negara ini terhadap filem-filem Hindi.

Pertama, Aziz menyelitkan adegan nyanyian ala Hindustan antara Yassin dengan gadis India Komala yang diimpikan oleh Yassin sebagai Juhi Chawla, bintang filem Hindi. Kemudian dalam satu adegan di bilik hotel antara Komala dan Wahid, mereka sempat memberikan komentar dan sindiran tentang kegilaan penonton Melayu terhadap filem Hindi dan pelakonnya sambil mereka menonton sebuah video filem Hindi.

Dalam satu adegan lain, kita ditunjukkan bagaimana Zati melamunkan dirinya berada dalam adegan siri TV Idaman lakonan Jalaludin Hassan dan Nina Juren Hanif, sebuah siri TV yang mengisahkan konflik kehidupan ahli perniagaan dan orang Melayu kelas atasan yang realitinya tidak wujud dalam masyarakat Melayu di negara ini.Corak kehidupan dalam siri TV itu menjadi impian yang sebenarnya tidak mampu dicapai oleh Zati dan akhirnya dia menyedari keadaan fizikal dirinya.

Secara keseluruhan, filem ini menghiburkan dengan konsep komedi slapstik yang dikawal dengan bijak oleh Aziz. Plotnya dirangka dengan kemas, biarpun jalan ceritanya selepas adegan kejar-mengejar, penculikan dan balai polis terasa meleret, tetapi struktur filem ini diperkuatkan oleh suntingan Aziz yang kemas dan pantas. Penonton yang sudah biasa dengan aksi dan identiti kumpulan Senario di TV, pasti masih terus terhibur dengan watak-watak yang hanya lanjutan daripada apa yang biasa mereka lakonkan di TV. Kemunculan watak kameo oleh beberapa pelakon terkenal lain seperti Nur Aliah, Mustapha Kamal, Amy Mastura, Jalaludin Hassan, Azhar Sulaiman dan Aziz sendiri sekadar memperlengkap dan memberikan warna pada filem ini. Sebagai hiburan ringan filem ini tidak mengecewakan, komedinya menghiburkan.

Sumber : Utusan Online 2/6/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001