Ulasan Review |
. | . |
Judul : Senario The Movie
Tahun : 1999
Pengarah : Aziz M.Osman
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Jangan perkecilkan kumpulan lawak ini. Mereka telah berjaya membuktikan bahawa mereka adalah antara kumpulan lawak yang paling popular di Malaysia sekarang ini. Kepopularitian nama mereka telah menjadi trade mark yang mampu menjadi penentu sambutan terhadap sesebuah filem. Tidak siapa yang dapat menafikan sambutan hebat filem Senario: The Movie amat bergantung pada kepopularitian mereka.
Senario, mula mencipta nama daripada sebuah rancangan di televisyen dan kemudian rancangan yang dijayakan oleh kumpulan ini menjadi antara rancangan yang cukup popular.
Maka, apabila sebuah filem dihasilkan atas nama mereka pastilah filem itu mempunyai beberapa kelebihan. Sebenarnya tidak semua rancangan popular TV atau mereka yang mencipta nama di televisyen akan berjaya juga apabila difilemkan.
Kejayaan di TV bukan penentu kejayaan di filem. Antara TV dan filem adalah dua medium yang berbeza yang memerlukan pemahaman dan pendekatan yang berbeza. Malah realiti penontonannya juga berbeza. Kejayaan dan popular di TV pada dasarnya memberikan beberapa kelebihan seperti ruang pasaran yang telah sedia dikenal, nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan dan telah mempunyai pengikut dan peminat tersendiri yang sentiasa mahu melihat mereka dalam medium yang berbeza.
Atas sebab inilah juga mengapa banyak rancangan atau siri TV yang popular telah dibawa ke filem. Tetapi malangnya sebahagian besar rancangan TV yang difilemkan itu gagal di pasaran filem. Seperti siri TV yang cukup popular The Avengers dan X-Files yang gagal di pasaran apabila difilemkan.
Senario di filem diberikan pendekatan yang berbeza dengan Senario di TV walaupun trend lawak slapstik mereka tetap diteruskan. Dari satu segi perbezaan pendekatan yang dibuat oleh Aziz adalah baik dan inilah yang seharusnya dilakukan apabila Senario hendak difilemkan.
Bagaimanapun dengan bergantung kepada populariti dan corak lawak slapstik Senario, Aziz meminggirkan aspek cerita dan pengolahannya yang ketara lemahnya. Perkembangan watak sekadar mengeksploit ahli kumpulan Senario.
Biarpun ada isu yang menarik, tetapi ia ditenggelamkan oleh kelemahan pengolahan plot dan lawak slapstik yang tidak dikawal. Biarpun lawak slapstik mempunyai tempatnya yang tersendiri di dalam filem, tetapi ia harus dilakukan dengan bijaksana. Malangnya slapstik Senario adalah juga yang biasa mereka persembahkan dalam rancangan mereka di TV.
Senario: The Movie, pastinya bukanlah filem arahan Aziz yang terbaik. Senario sebenarnya beruntung kerana populariti mereka menjadi tiket dan ransangan penonton ke pawagam. Tanpa cerita yang baik dan segala kelemahan yang ada, kejayaan Senario meraih penonton adalah mengkagumkan. Kita boleh sahaja menghujahkan, apakah kejayaan sesebuah filem ditentukan oleh faktor populariti bintangnya (pelakon), atau filem harus berdiri dengan kekuatannya sebagai sebuah filem?
Sumber : Utusan Online 11/6/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |