Ulasan
Review
. .

Judul : Seri Dewi Malam
Tahun : 2001
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman
Pelakon : Hairie Othman, Jeslina Hashim, Maya Karin, Danny (X-Factor), Rashidi Ishak, Khatijah Tan dan lain-lain

Pengulas : 


SDM fantasi baru Aziz

Sama ada sedar atau tidak, pelbagai gelombang telekomunikasi bermain di persekitaran kita. Radio, televisyen dan telefon antara yang menggunakan gelombang (tetapi bukan ketuhar gelombang mikro). Gelombang ini menjadi penghubung manusia zaman moden.

Sebelum manusia mengenali perkataan telekomunikasi lagi, gelombang ini sudah wujud. Namun tidak semua orang, hanya mereka yang dianugerah kelebihan itu mengetahuinya.

Teori itu digunakan oleh Aziz M Osman dalam filem ini. Malah teori ini pernah dipakai dalam filem Phenomenon lakonan John Travolta atau The Cell yang dibintangi Jennifer Lopez juga City Of Angels (Nicolas Cage). Jerry Zucker juga menggunakan elemen yang sama dalam Ghost dan yang paling baru dalam The Sixth Sense.

Berhubung melalui deria pemikiran mungkin pelik bagi sesetengah orang namun mengikut kajian, benda ini boleh terjadi. Itulah kemampuan otak kita yang bukan semua orang memiliki kelebihan itu.

Seri Dewi Malam (SDM) sebuah fantasi baru Aziz yang berlandaskan realiti kehidupan. Ia sebuah garapan yang baik daripada pengarah sains fiksyen ini, malah Aziz tidak terlepas dari menyuntik elemen sainsnya.

Sebenarnya jalan cerita SDM sangat mudah. Seri koma selepas terjatuh dari pelantar tinjau (Hulu Langat), Doktor Hanif pula mahu menamatkan riwayat pesakit itu yang dianggap mayat hidup, tetapi dihalang si suami yang terlalu mencintainya.

Muncul si gadis buta, Dewi yang menjadi penghubung pasangan suami-isteri itu. Dibantu oleh adik Dewi, Izad, mereka berempat lari ke sebuah pulau milik keluarga Azri.

Konflik tiba lagi apabila Azri jatuh cinta pada Dewi. Seri kemarahan apabila mendapati hal ini. Seri menuduh Dewi ingin merampas Azrinya (mereka bertemu dalam dunia ‘komunikasi’ mereka).

Namun yang lebih menarik dalam filem ini ialah idea dan olahan Aziz sendiri yang menjadikan filem ini sebuah produk yang boleh dibanggakan peminat filem Melayu.

Tiada jalan cerita yang ‘menjerit’ sebaliknya dilakukan dengan tenang, setenang wajah Seri yang sedang koma (walau dalam dirinya bergolak).

Begitu juga dengan konflik, Aziz menciptanya setenang mungkin tetapi tidak menjemukan.

Beberapa idea babak SDM semacam diciplak dari filem Inggeris yang saya sebut di atas. Misalnya babak di hospital (Aziz mengubah Seri Pentas TV3 kepada sebuah hospital) di mana Dewi dan Azri melintas katil orang yang sedang nazak. Dan dia tahu orang itu sudah bersedia untuk mati.

Teringat saya filem Ghost ketika Sam (Patrick Swayze) mula-mula jadi ‘hantu’, juga di hospital. ‘Hantu’ seorang tua memberitahunya mengenai seorang pesakit di situ yang bergelut dengan ajal. Biarpun begitu, Aziz masih tidak lari dari menggunakan ramuan tempatan.

Aziz merealistikkan ideanya melalui penggunaan Computer Graphic Image (CGI), terutama apabila watak bergolak dalam ilusi.

Cuma menjadi tanda tanya dalam satu babak ilusi di mana dialog Dewi yang berbunyi lebih kurang “Iman yang membezakan manusia dan binatang”. Lalu Aziz dengan teknik CGI mencipta efek ke dalam mata Dewi dan timbul pula di mata Seri. Apakah yang ingin digambarkan sebenar? Adakah itu melambangkan iman atau manusia atau binatang?

Dari segi lakonan, tiada yang bergelar pelakon utama SDM. Baik Hairie, Maya, Jeslina atau Danny namun Jeslina lebih menonjol sedikit berbanding tiga yang lain. Sebagai orang baru, Jeslina berpotensi untuk muncul sebagai pelakon berwibawa suatu hari nanti.

Sebenarnya pada pandangan saya, pemilihan pelakon untuk filem ini bagaikan tidak kena. Mungkin itu yang terbaik dapat Aziz cari. Hairie sebagai orang berpengalaman dalam dunia lakonan, gagal ‘melepas’ 100% watak Azri. Lebih senang cakap, dia masih kaku dan terbawa-bawa stailnya sebelum ini.

Babaknya menangis di birai katil Seri di hospital, sukar membawa sendu itu kepada penonton. Kartasis tak ada. Sebaliknya nampak kelakar tambahan intonasi suaranya kurang jelas dan mimik muka dibuat-buat.

Maya sebagai orang baru masih boleh dimaafkan, Dia masih terikut dengan perwatakan sehariannya. Adakah Seri semestinya begitu?

Bagaimanapun watak lincah Danny dilakukannya dengan ‘cantik’. Walaupun terbawa-bawa dengan karektornya, Izad nampak lebih bersahaja.

Namun itu tidaklah merosakkan kekemasan cerita ini kerana idea dan adunan Aziz menjadikan SDM filem yang patut ditonton. Walaupun bukan pada lakonan, tarikan kuatnya terletak pada idea dan cara Aziz mengatur rencah filem terbitan Grand Brilliance dengan kerjasama Paradigm Pictures.

Sumber : Harian Metro Online 11/5/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001