Ulasan
Review
. .

Judul : Silat Legenda
Tahun : 1998
Pengarah : Hassan Mutalib

Lakon Layar : Hisham Harun Hashim, Nik Othman Ariff Kamil & Hassan Mutalib
Pelakon (suara) : Noorkumalasari, Karim Latiff, Hafsham, M. Amin, Hamid Gurkha, Nurul Alis, Ayie Ibrahim, Ahmad Nizam dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Silat Legenda antara kuasa dan dendam

Silat Legenda Jangan perkecilkan filem ini. Gurisan ilustrasi animasinya mungkin tidak sehalus yang dihasilkan oleh Walt Disney, tetapi Silat Legenda adalah cubaan filem animasi yang cukup berani, kreatif dan menarik.

Keperwiraan pahlawan zaman silam dijelmakan ke abad 21, Melaka di abad akan datang.

Filem ini sebenarnya tidaklah berdasarkan secara langsung kepada kisah legenda zaman silam, tetapi mengambil asasnya dari kisah keperwiraan Hang Tuah lima sahabat di zaman silam. Kisahnya bermula ketika Melaka di abad ke-15 dengan pertentangan dua orang pahlawan gagah iaitu Seleman (disuarakan oleh Karim Latiff) dan Mona (disuarakan oleh Noorkumalasari), yang mana pemenangnya akan menguasai lima bilah senjata misteri.

Apabila Mona gagal mendapatkan senjata-senjata tersebut, dia terus berdendam dan masih cuba menguasainya walaupun dengan menggunakan kuasa sihir. Ratusan tahun berlalu, lima bilah senjata sudah ditukar menjadi keris dan disimpan di sebuah gua di Gunung Ledang, dan Mona ditidurkan dalam tempoh itu.

Mona hanya dijagakan semula dari bekuannya itu bilamana lima orang anak muda di abad ke-21 yang amat berminat dengan kisah keperwiraan Hang Tuah dan sahabatnya berjaya menemui senjata-senjata tersebut dan cuba memulihkan kuasanya. Pertarungan antara kuasa jahat dan baik bermula semula.

Sebagai sebuah filem cereka animasi tempatan yang pertama, tidak dapat tidak filem ini menjadi perhatian utama. Pengarah filem ini, Hassan Mutalib adalah antara pembikin filem animasi ulung negara ini dan telah sekian lama berkhidmat di Filem Negara Malaysia.

Pernah menghasilkan filem animasi pendek, antaranya Kisah Sang Kancil serta beberapa buah filem animasi iklan.

Mungkin ada yang mahu membandingkan filem ini dengan filem animasi terbitan luar negara, terutama filem animasi yang dihasilkan oleh Walt Disney, Hanna-Barbera atau pun siri animasi terbitan dari Jepun.

Berdasarkan tradisi dan teknologi yang mereka ada pastinya perbandingan ini sesuatu yang keterlaluan.

Tetapi pada masa yang sama membuat perbandingan dengan produk animasi yang telah mantap dan berkualiti boleh membantu meningkatkan kualiti pembikinan animasi tempatan.

Sebagaimana tradisi filem-filem animasi, Silat Legenda mengemukakan sebuah cerita yang agak ringan berdasarkan pertentangan antara kuasa baik dan jahat, pertentangan yang tidak pernah padam sejak dahulu hingga masa akan datang. Konsep ceritanya berisi motif perjuangan, kesetiakawanan, disiplin dan dendam yang tak sudah.

Silat Legenda cuba melihat kemungkinan seni silat, budaya Melayu hidup di kota Melaka abad ke-21 yang serba canggih, moden dan begitu hebat pembangunannya. Terdapat beberapa kiasan menarik untuk difikirkan dalam filem ini. Bagi sebuah filem animasi begini, selain persoalan moral, persoalan budaya juga sama pentingnya.

Sejauh mana budaya tempatan selain daripada gambaran pahlawan dan seni silat dapat dipapar serta dihidupkan melalui suasana persekitaran dan sosiobudayanya? Alam flora dan fauna yang seharusnya menghiasi suasana pendakian Gunung Ledang sebaliknya diganti dengan batu-batan (atau mungkinkah Gunung Ledang di abad ke-21 telah gondol dari hutannya?).

Filem ini kerana menumpukan kepada persoalan mendapatkan kekuasaan, balas dendam dan pertarungan, maka ia hampir melupakan aspek emosi perwatakan, hubungan dan unsur dramatik yang sama penting dalam membangunkan cerita ini daripada menjadi sebuah cerita yang kering. Kemunculan watak Ema dan hubungannya dengan kumpulan anak muda itu seharusnya memberikan peluang menjaring aspek emosi dan suasana romantis yang kering dalam filem ini.

Dari segi gurisan ilustrasi, harus diakui filem ini tidak sehalus ilustrasi filem-filem animasi dari Walt Disney atau Jepun. Imej-imej yang dihasilkan (yang dibantu dengan teknologi komputer digital) seharusnya berupaya menghasilkan visual tiga dimensi dilayar perak, tetapi dalam beberapa aspek tidak sepenuhnya berjaya dihasilkan. Bagaimanapun, ia tidak melemahkan keseluruhannya.

Arahan muzik dan kesan bunyi oleh Saaban Yahya dalam filem ini harus diberikan pujian. Penggunaan teknologi kesan bunyi Dolby Digital Surround yang cukup baik berjaya memberikan kekuatan, mencipta suasana dan kesan bunyi yang lebih mantap dan dinamik yang setaraf dengan mana-mana filem animasi dari Hollywood sekalipun. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh para penyanyi tempatan yang terkenal bukan sahaja sesuai dengan plot tetapi turut menjadi tenaga penggeraknya.

Bagi hasilan pertama, Silat Legenda sebuah filem yang boleh dibanggakan. Berikan mereka masa, pengalaman, kreativiti, keberanian dan penguasaan teknologi, mereka pasti mampu menghasilkan karya yang jauh lebih mencabar dan menggegarkan nanti.

Sumber : Utusan Online 4/9/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000