Ulasan Review |
. | . |
Judul : Soal Hati
Tahun : 2000
Pengarah : Othman Hafsham
Skrip : Habsah Hassan
Pelakon : Erra Fazira, Afdlin Shauki, Anuar Zain, Shamsul Ghau Ghau,
Khatijah Tan,
Zaibo, Chef Wan dan lain-lain
Pengulas : Akmal Abdullah
Erra Fazira menjadi jurujual di sebuah pusat membeli belah, kemudian dia terpaksa mengambil kelas malam untuk lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan pada masa yang sama, membantu ibu saudaranya dalam perniagaan produk jualan langsung.
Bersama imej gadis kampung yang datang ke kota dan menumpang rumah orang, Erra digambarkan sebagai gadis agak mentah dalam kehidupan kota tetapi matang dari segi prinsip diri.
Dia ingin berjaya dalam kehidupannya, mahu berubah masa depan dan membuktikan anak kampung sepertinya ada keazaman tinggi, tegas dan tidak tunduk pada desakan nafsu.
Imej watak Erra dalam filem Soal Hati nyata agak berbeza jika dibandingkan dengan coraknya dalam filem arahan Yusof Haslam, iaitu lebih kepada gadis kota hidup mewah, model dan polis.
Penampilannya berubah dari segi fizikal yang mengangkat watak Nurul Ain sebagai gadis lemah lembut, bersopan, gigih dan tegas. Namun, jika dihayati gaya lakonan Erra, sebenarnya tidak banyak berubah berbanding filem terdahulu berdasarkan cara dia berkomunikasi dengan watak lain, permainan air muka, rias wajah, cara pergerakan dan intonasi suara.
Perkembangan wataknya dibangunkan dengan baik dan masih mampu mengungkap latar belakangnya yang kelihatan matang tetapi nyata masih belum cerdik. Dalam keegoannya menjual mahal apabila dipikat orang lain, dia tiba-tiba boleh tunduk dengan mudah dengan cara Daniel (lakonan Afdlin Shauki) memikatnya.
Kebodohan Nurul Ain jelas ketika dia meradang dan sedih apabila Daniel menyamar sebagai pemuda miskin sedangkan dia kaya. Peliknya, kenapa dia marahkan Daniel sebab lelaki itu jujur kerana mahu memikatnya. Jika dia memikat secara gaya hidup mewah sudah tentu memperlihat Nurul Ain sukar menerimanya kerana ia satu kejutan atau dia kelak dituduh mata duitan.
Dalam kesabaran dan kegigihannya itu, ternyata apabila dia menerima godaan cinta, dia mudah tewas. Ini membuktikan jiwa Nurul Ain masih lemah biarpun pada awal dan pertengahan babak ditunjukkan dia sanggup belajar malam dan mencari kerja di kota. Contohnya, Nurul Ain sanggup keluar dari rumah ibu saudaranya dan mahu balik ke kampung selepas mengetahui siapa sebenarnya Daniel.
Barangkali skrip yang ditulis Habsah Hassan ingin menghuraikan itulah persoalan jiwa dan perasaan gadis yang pertama kali jatuh cinta, sesuai dengan judulnya Soal Hati. Nampaknya, dari aspek ini, Habsah berjaya menyampaikan maksud judul filem itu dengan baik. Namun, ia kurang dramatik untuk membangkitkan simpati pada Nurul Ain.
Lakonan Erra juga tidak menyerlah dari segi komedi. Watak Nurul Ain kelihatan lucu secara kasar saja selepas dia banyak dijanakan komedi berkesan yang disampaikan Afdlin.
Dari sini, kelemahan komedi Erra dihidupkan dengan mood lakonan Afdlin, sekali gus menghidupkan cerita yang membolehkan penonton ketawa ketika mengikuti naratif filem ini.
Soal Hati mula menemui penonton sejak 28 September lalu. Selain Erra dan Afdlin, turut beraksi ialah Zaibo, Khatijah Tan, Anuar Zain, Pie, Chef Wan, Shamshul Ghau Ghau, Linda Onn, Rubiah Suparman, Noor Azizah, Najihah Azlisham dan Sathiya serta pelakon dari Filipina, Sharmaine Arnaz.
Dalam corak ringan, bersahaja dan ringkas, filem ini bergerak dengan mudah yang agak berjaya menghuraikan temanya. Ia dianggap memenuhi selera kebanyakan penonton semasa yang meminati corak komedi.
Ceritanya cuba mengangkat imej wanita yang sanggup bersusah payah memperbaiki kehidupan tetapi pada masa yang sama seolah-olah memperli kalangan lelaki muda kerana masih sukakan wanita cantik sebagai pilihan hati. Ini berlaku pada watak yang dibawa Shamshul dan Anuar. Malah, Daniel terpikat pada Nurul Ain kerana tertarik pada paras rupanya.
Begitu juga watak Shamshul dan Anuar, juga kelihatan terpikat pada Nurul Ain kerana wajahnya.
Jika mahu memperlihat mereka terpikat kerana pendirian atau sikap Nurul Ain, ia kurang berjaya disampaikan dengan baik.
Ini kerana, jika melihat Nurul Ain sekali lalu, tidak ada apa yang boleh dibanggakan, selain wajahnya yang lembut dan bentuk badan menarik.
Sekalipun dalam imej komedi romantik, Soal Hati masih mampu menyelitkan persoalan nilai dan menyentuh aspek berkaitan perkembangan sosial remaja kini iaitu semakin lupa mengenai sembahyang, membaca al-Quran, persilatan Melayu, hubungan bersama orang tua dan pengisian hidup positif. Ia turut menggambarkan sekilas mengenai lelaki di ibu kota yang seolah-olah suka bergaya lembut seperti perempuan (lakonan Chef Wan).
Namun, dramatik dan konflik dalam Soal Hati tidak berlaku dengan baik. Ia dipaparkan secara agak klise kerana mudah diselesaikan iaitu simpati selepas kemalangan jalan raya. Sewajarnya bahagian ini harus ditunjukkan dengan teliti dan cukup menyentuh hati selepas babak Nurul Ain berkonflik dengan Daniel.
Sumber : Berita Harian Online 1/10/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |