Ulasan Review |
. | . |
Judul : Soal Hati
Tahun : 2000
Pengarah : Othman Hafsham
Skrip : Habsah Hassan
Pelakon : Erra Fazira, Afdlin Shauki, Anuar Zain, Shamsul Ghau Ghau,
Khatijah Tan,
Zaibo, Chef Wan dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Seorang gadis dari kampung yang baru bekerja di sebuah kompleks membeli-belah di kota raya tiba-tiba digilai oleh seorang lelaki kota yang kaya-raya.
Lelaki ini sanggup melakukan apa sahaja, menyamar dan dipukul semata-mata untuk memenangi hati gadis dari kampung yang tentunya cantik, lembut dan kelihatan jujur.
Tema dan cerita seperti ini mungkin telah pernah anda tonton dalam entah berapa banyak filem.
Anda mungkin telah juga membaca dalam banyak novel dan juga cerita-cerita penglipur lara dahulu kala, yang bercerita mengenai seorang putera raja sanggup mengembara dan menyamar.
Putera raja yang diiringi oleh si Awang semata-mata untuk mendapatkan gadis idamannya, yang tentunya pula mempunyai beberapa teman pengiringnya yang tidak berapa cerdik, tetapi sentiasa setia membantu.
Sebuah cerita dan plot boleh sahaja berulang-ulang, tetapi yang penting adalah bagaimana pendekatan penulis dan pengarahnya - itulah yang membezakan sesebuah filem, dan yang memastikan filem itu menarik.
Dalam filem ini, Ahmad Danial (Afdlin Shauki) adalah seorang ahli perniagaan muda yang berjaya, tetapi pada masa yang sama juga seorang yang romeo.
Dia mempunyai ramai teman wanita, tetapi ibunya masih mahukan dia mencari wanita yang sesuai dengannya (alangkah liberalnya si ibu).
Suatu hari ketika menemani teman wanitanya membeli-belah, dia telah bertemu dengan jurujual Nurul Ain (Erra Fazira) lalu tertarik hati kepadanya. Nurul berasal dari kampung dan baru sahaja bekerja di kompleks membeli-belah itu.
Pada sebelah malam selepas bekerja Nurul menghadiri kelas malam untuk memajukan lagi dirinya. Untuk memikat Nurul (kebetulan kerana cabaran dari teman wanitanya yang sedikit angkuh), Ahmad Danial menyembunyikan identiti diri, menyamar dan dengan dibantu oleh pemandunya Osman (Zaibo).
Plotnya mudah dan lancar, dan biarpun ceritanya sekadar pengulangan subjek lama tetapi Othman Hafsham yang terkenal dengan filem-filem komedinya seperti Adik Manja dan Mekanik mampu menyuntik Soal Hati dengan sentuhan humornya yang bersahaja.
Pastinya kekuatan unsur komedi ini banyak terletak di atas keupayaan lakonan Afdlin Shauki dan Zaibo. Afdlin Shauki memberikan gaya lakonan yang menarik, riak wajah yang bersahaja dan gerak lakon yang terkawal.
Cuma sayangnya watak Nurul Ain yang dibawakan oleh Erra Fazira kurang menyerlah dan sederhana.
Selain kelembutan watak Nurul Ain seorang gadis kampung yang baru di kota, kita tidak nampak apakah keistimewaan atau kebijaksanaan Nurul Ain yang menyebabkan dia lebih menyerlah berbanding gadis-gadis lain yang pernah didampingi oleh Ahmad Danial.
Dia kelihatan jujur, tetapi apakah sebenarnya yang telah menguji kejujurannya?
Habsah Hassan sebagai penulis menonjolkan watak Nurul Ain sebagai wanita yang mahu mempertahankan kejujuran dalam perhubungan dan sebagai seorang "heroin" yang mampu menewaskan seorang romeo sehebat Ahmad Danial yang telah sekian lama mempermainkan wanita.
Maka dengan itu watak Nurul Ain telah menjadi lambang untuk mewakili kaum wanita lain menumpaskan seorang lelaki romeo.
Bagi sebuah filem komedi romantis yang sederhana, Soal Hati mampu menghiburkan, tetapi untuk lebih menarik dan berkesan filem ini harus membina plot yang lebih segar, asli dan cuba keluar daripada mengulang pendekatan yang lama.
Sumber : Utusan Online 6/10/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |