Ulasan Review |
. | . |
Judul : Spinning
Gasing
Tahun : 2001
Pengarah : Teck Tan
Lakonlayar : Teck Tan
Pelakon : Ellie Suriaty, Craig Fong, Corinne Adri, Edwin R. Sumun, Sanjeet Jarnail,
Hani Mohsein, Rosyam Nor, Jalaluddin Hassan dan lain-lain
Pengulas : izza@nstp.com.my
Sebelum melangkah masuk menonton filem ini, perlu diingat Spinning Gasing adalah sebuah filem Malaysia bukannya filem Melayu. Teck Tan yang sebelum ini mengutip pengalaman di luar negara berazam untuk membawa pembaharuan dalam industri perfileman tempatan dan usahanya itu nampaknya mendapat perhatian orang industri.
Pengarah muda yang menghasilkan jalan cerita mengenai sekumpulan anak muda ini juga bertindak selaku penerbit bersama Dominique Hee. Dengan kos perbelanjaan RM2.5 juta, filem ini bukan saja menampilkan sesuatu yang baru tetapi juga sebuah karya yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Mendapat perhatian di Festival Filem Antarabangsa Hawaii apabila dianugerahkan Netpac Special Mention yang mengiktiraf filem cereka pertama Teck Tan yang menerapkan unsur kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Lebih membanggakan lakonan Ellie Suriaty Omar dinobatkan sebagai Aktres Terbaik di Festival Filem Asia Cinemaya (Cinefan 2001) di India, baru-baru ini.
Filem ini membuka tirai dengan mengetengahkan impian lima anak muda kota yang ingin menempa nama dalam bidang muzik dengan muzik tersendiri. Bagaimanapun, mereka mendapati untuk mencapai kejayaan bukan satu perkara mudah kerana banyak halangan yang perlu ditempuhi termasuk masalah kewangan.
Harry yang mengetuai kumpulan itu terpaksa meminjam RM30 ribu dari ceti haram. Akibatnya, Harry diburu kerana gagal melangsaikan hutangnya. Tanpa berlengah dia mengajak rakannya yang lain untuk ke Pantai Timur dengan alasan akan mendapatkan kontrak bermain muzik di sebuah pusat peranginan yang dikendalikan Azri, anak orang kenamaan.
Pada masa sama, timbul pergolakan perasaan antara Yati, Harry dan Chantal. Walaupun digambarkan, Harry dan Yati rapat sejak kecil tetapi tarikan antara mereka kurang menjadi sebaliknya Harry bersama Chantal lebih menyerlah. Mungkin beberapa babak intim sudah dipotong menjadikannya tergantung tanpa penerangan yang jelas.
Menambahkan kemusykilan adalah loghat Inggeris Harry yang sungguh asing daripada cara orang Malaysia bertutur walaupun pernah belajar di luar negara. Lagipun, keluarga Harry seperti yang digambarkan bukanlah daripada golongan berada yang pastinya mempunyai sedikit telo Cina.
Ketepikan cara mereka bertutur dan berikan perhatian kepada sinematografi yang cukup menarik sentuhan Teoh Gay Hian. Melengkapkan persembahan filem ini adalah muzik yang mengiringi perjalanan Spinning Gasing dari mula hingga akhir.
Orang yang bertanggungjawab melahirkan irama bertenaga dan unik adalah Tunku Adam Mansur. Lagu-lagu yang diketengahkan cukup tersendiri dan disesuaikan dengan cita rasa remaja. Turut diselitkan alunan ulik mayang yang menyuntik unsur mistikal dan tradisional dalam dunia serba moden.
Walaupun Teck Tan mengetengahkan elemen negatif dalam masyarakat kini, secara halus Spinning Gasing menutup kekurangan dengan mesej bahawa ia bukan adat Malaysia. Secara tidak langsung memberikan keseimbangan dalam jalan ceritanya.
Secara keseluruhan, filem ini memberikan nafas baru dalam corak persembahan filem tempatan. Mungkin tidak dapat memenuhi cita rasa semua peminat tetapi jika ingin melihat industri sinema maju, sekurang-kurangnya Spinning Gasing memainkan peranannya dalam perkembangan seni filem.
Sumber : Berita Minggu Online (14/10/2001)
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2002 |