Ulasan
Review
. .

Judul : Spinning Gasing
Tahun : 2001
Pengarah : Teck Tan
Lakonlayar : Teck Tan
Pelakon : Ellie Suriaty, Craig Fong, Corinne Adri, Edwin R. Sumun, Sanjeet Jarnail, Hani Mohsein, Rosyam Nor, Jalaluddin Hassan dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Spinning Gasing realiti remaja Malaysia

Sekali lagi sebuah filem Malaysia cuba menampilkan secebis kisah remaja Malaysia dari perspektif yang lain dari kebiasaan filem Melayu. Filem ini berusaha untuk tidak memihak kepada mana-mana kaum tertentu di negara ini. Tetapi berusaha memahami permasalahan yang membelenggu remaja dan realiti yang melingkari mereka.

Selepas Kami arahan Patrick Yeoh, inilah sebuah filem Malaysia yang dilihat dari kaca mata seorang pengarah bukan Melayu.

Spinning Gasing biarpun terdapat kelemahan di sana-sini tetapi ia adalah antara percubaan yang cukup menarik setakat ini. Filem ini cuba membawakan persoalan remaja Malaysia masa kini dan cabaran gaya hidup kontemporari dalam lingkungan masyarakat yang masih kuat dengan fahaman dan budaya tradisi.

Barangkali ada yang akan mempersoalkan mengapa hampir 90 peratus filem ini mengunakan bahasa Inggeris disamping bahasa Melayu dan Cina. Mungkin ini adalah cara mudah untuk filem ini mendapat peluang edaran dan tayangan di peringkat antarabangsa, biarpun pada hakikatnya sebuah filem yang berkualiti dan baik tidak bergantung pada bahasa yang dituturkan. Filem yang baik adalah baik kerana olahan persoalannya dan tukangannya.

Biarpun naratif filem ini adalah gambaran realiti anak muda dalam masyarakat Malaysia kontemporari, namun mereka sebenarnya bergerak antara moden dan tradisi.

Perbezaan kaum sudah tidak menjadi halangan untuk anak muda kontemporari, tetapi realiti masyarakat nyata masih kekal dengan sebahagian ikatan budaya dan tradisi.

Muzik yang mereka mainkan adalah kontemporari, tetapi Yati (Ellie Suriaty) juga nyata masih kuat dengan irama dan budaya tradisionalnya. Kita melihat Yati menari ulik mayang dan bersyair, dan syairnya bukan sahaja memikat Harry (Craig Fong) tetapi juga orang lain yang mendengarnya. Tetapi apabila Harry cuba menggabungkan syair dengan irama kontemporari Yati menentangnya kerana Yati melihat ia tidak wajar.

Gaya hidup Yati dan teman-temannya yang moden itu sebenarnya mendapat tentangan dari abangnya yang hidup dengan budaya tradisi di sebuah kampung di Terengganu.

Begitu juga hubungan homoerotisme antara Arif dan JJ adalah dilihat bertentangan dengan budaya tradisi dan disanggah.

Filem ini bermula dengan watak Harry seorang anak muda keturunan Cina yang sekian lama menetap di luar negara akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia. Harry menemui Yati (Ellie Suriaty) kawan lamanya sejak sekolah lagi.

Mereka menubuhkan kembali kumpulan muzik mereka bersama tiga orang lagi teman iaitu Arif (Edwin R. Sumun), JJ (Sanjeet Jarnail) dan Chantal (Corinne) selaku penyanyi dan cuba membawakan muzik aliran mereka yang berbeza dengan muzik aliran perdana. Untuk menjadi terkenal dan berjaya nyata tidak mudah, sebaliknya Harry selaku ketua kumpulan ini terpaksa berhutang dengan ceti haram.

Apabila Harry gagal membayar hutangnya, dia diburu dan ini membawa Harry dan kumpulannya menerima tawaran daripada Azri (Hani Mohsin) anak seorang hartawan untuk bermain di pusat peranginannya di sebuah pulau. Di sini sebaliknya berlaku. Hubungan Harry dan Chantal semakin tegang kerana kemesraan antara Harry dan Yati.

Bagaimana pun akhirnya Harry dan Yati terpaksa juga akur bahawa agama tidak memungkinkan hubungan mereka berakhir dengan perkahwinan dan mereka terpaksa mengambil haluan masing-masing. Tetapi mereka mula memahami realiti yang melingkari mereka.

Ini barangkali merupakan penamat yang lebih jujur bagi filem ini tanpa perlu memberikan penekanan moral yang superficial. Kelebihan filem ini ia cuba melihat permasalahan hubungan antara kaum secara yang lebih jujur bagi anak muda Malaysia masa kini.

Drama dengan komedi yang bersahaja ini diperkuatkan oleh keindahan fotografi oleh Teoh Gay Hian. Biarpun filem ini tidak bergantung pada nama-nama besar pelakon terkenal filem Melayu, tetapi pelakon yang terlibat memberikan lakonan yang cukup baik terutama Ellie Suriaty Omar. Dia begitu cemerlang dengan watak Yati yang bebas, mempunyai kemahuan untuk berjaya sebagai gadis Melayu moden yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik aliran kontemporari, tetapi juga terikat dengan budaya tradisi yang ketat.

Dia memendam perasaan terhadap Harry tetapi akhirnya harus akur dengan realiti. Filem ini menghiburkan, plotnya sederhana, tetapi persoalannya yang dilihat dari kaca mata yang berbeza menuntut pemahaman.

Sumber : Utusan Malaysia Online (19/10/2001)

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2002