Ulasan
Review
. .

Judul : Syukur 21
Tahun : 2000
Pengarah : Aliff Najmi Abdullah
Lakonlayar : Zack Idris
Pelakon : Raihan, Yassin, Mustapha Kamal, Eisya, Norzizi Zulkifli, Mahyon Ismail, Yang Kassim, Man Bai, Rika Yulianti dan lain-lain

Pengulas : Akmal Abdullah


Syukur 21 boleh dibanggakan

Syukur 21 Mencapai imej sebagai satu filem bertaraf antarabangsa masa kini, faktor teknikal yang teliti dan memberi impak sebagai big screen cinemas termasuklah pada aspek penataan bunyi dan muzik latar serta paparan kesan grafik animasi tiga dimensi (3D).

Jika faktor ini diambil kira, memang jelas filem yang menampilkan lakonan lima anggota kumpulan nasyid popular, Raihan berjaya membawa imej baru dalam industri filem Malaysia.

Syukur 21 dari segi gaya persembahannya memang layak untuk dibanggakan sebagai filem cereka Melayu bagi alaf baru.

Segala-galanya harus diakui mampu menggerakkan mood penonton untuk mengikuti jalinan cerita dalam filem itu, beberapa babaknya juga berupaya menyentuh jiwa penonton dan kehidupan Islam yang berhemah terasa begitu indah.

Banyak babak yang dihasilkan dalam filem ini turut menampakkan ia sebagai imejan sosiobudaya dan gaya kehidupan yang terserlah dari segi sinematografi apabila sentuhan sutradaranya, Aliff Najmi Abdullah bijak mengeksploitasi beberapa bangunan termoden di Malaysia termasuk Putrajaya dan Planetarium Negara.

Ini sesuai dengan latar masa filem itu yang membawa penonton menjejaki kehidupan masyarakat Islam di Malaysia pada zaman futuristik iaitu pada 2021. Tahun sulung selepas berakhirnya Wawasan 2020 bagaikan mengangkat imej prestij kehidupan masyarakat di negara ini dalam menempuh era pascamoden.

Bagaimanapun, gambaran Islam yang diberikan sewajarnya tidak disempitkan dengan sekadar imej corak pakaian yang kelihatan masih tipikal Melayu tradisional, selain penggunaan perkataan bahasa Arab yang begitu berlebihan, bagaikan itulah satu imejan Islam secara grandeur.

Apa yang lebih baik, seharusnya dijelaskan mengenai sejauh mana penghayatan masyarakat zaman itu dalam memartabatkan kehidupan sesama manusia bersama teknologi canggih, bagaimana hala tuju dalam kehidupan, pemikiran sesuai dengan suasana modenisme yang diaplikasikan dari sudut peristiwa dalam sosiobudaya.

Apakah ini gambaran dan kefahaman yang ada pada Aliff Najmi atau Eddie Pak sesudah baru memeluk Islam?

Walaupun cerita yang disampaikan agak menarik tetapi olahan dan jalinannya kurang dramatik. Konflik berlaku dengan mudah dan diselesaikan dengan cara mudah. Inilah kekurangan paling ketara pada aliran cerita Syukur 21.

Menyentuh aspek lakonan, ternyata Syukur 21 juga harus menerima hakikat ia masih dianggap gagal untuk tampil dengan pakej sempurna bersama kelebihan pada unsur teknikalnya. Lakonan lima anggota Raihan langsung tidak menampilkan ciri sebagai pelakon yang baik dalam penghayatan watak masing-masing secara berkesan.

Kecuali watak yang dibawa Nazrey, ia agak baik sedangkan watak paling lemah ialah lakonan Che Amran. Lakonan Raihan bagaikan gaya penampilan dalam satu persembahan klip video.

Menyalahkan mereka bulat-bulat bukan jalan penyelesaian kerana inilah kali pertama anggota nasyid itu beraksi sebagai anak wayang. Lakonan Yassin (bekas anggota Brothers) juga tidak begitu memberangsangkan, masih kelihatan dia sedang ‘berlakon’.

Watak Mustapha Kamal boleh dianggap biasa saja seperti dia beraksi dalam drama TV. Persembahan lakonan Eisya yang membawa watak Aishah kelihatan ada potensi tetapi pada babak tertentu, penampilannya tersasar. Apapun, mutu lakonan pada watak yang dibawa Norzizi Zulkifli, Mahyon Ismail, Yang Kassim, Man Bai dan Rika Yulianti dari Indonesia, banyak memberi sumbangan besar dalam membantu menghidupkan Syukur 21.

Secara keseluruhan, Syukur 21 masih boleh dianggap satu persembahan yang wajar diberi pujian kerana menampilkan kelainan dalam pelbagai aspek. Ceritanya adalah satu fantasi yang masih berpijak pada bumi nyata, bukan fantasi entah apa-apa seperti filem Hollywood. Malah, ceritanya memaparkan imej Islam yang terbuka, terhormat dan tersendiri. Slogan filem ini iaitu “Kasih sayang, ketenangan, keharmonian, syukur kita pada abad ini” nyata sesuai dengan pengisian yang disampaikan.

Sesuai dengan semangat Aidilfitri, Syukur 21 juga menjadi titik tolak kepada penerbitan yang mampu menjadi bahan pengisi minda dan jiwa. Ia wajar ditonton masyarakat Malaysia bagi menilai perubahan filem dari negara sendiri.

Sumber : Berita Minggu 31/12/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001