Muka Surat Kedua EVIL DEATH. Malam itu
peristiwa berdarah tersebut berlaku. Pada detik itu, Zahar baru sahaja menutup warung kopi kepunyaan ayahnya Pak Lah.
Pada hari itu Pak Lah terpaksa pulang dahulu kerana orang tua itu berasa tidak
sedap badan dan mengamanahkan anaknya Zahar menunggu di kedai hingga larut
malam. Hujan mulai turun renyai-renyai sejak selepas waktu Maghrib lagi. Kini
pelanggannya sudah beransur-ansur pulang, hinggalah Mail sahabat atau
pelanggannya yang terakhir meninggalkan warungnya. Tetapi sahabatnya itu
ada menceritakan sesuatu yang ganjil
sebelum meninggalkan warungnya. Cerita tersebut berkenaan tentang mayat Milah
yang meninggal dunia dua minggu lepas, telah bangkit semula dari kuburnya.
Meremang juga bulu tengkuk Zahar mendengar cerita sahabatnya itu.
SSRRRRRRRRUUUUUUUUUUU…. Angin bertiup dengan sepoi-sepoi bahasa. Zahar sudah
mula mengayuh basikal tuanya meninggalkan kawasan perniagaannya itu. Malam
semakin larut, suasana semakin sepi, sesepi bilik mayat hospital. Hanya
terdengar lolongan anjing di kejauhan dan bunyi kayuhan pedal basikal tua
Zahar. Daun-daun pokok bergeseran sesama sendiri di tiup angin malam hingga
membuatkan Zahar teringatkan cerita Mail. KREOK-KREAKKK, basikal Zahar meluncur
memasuki kawasan rimbunan pokok getah. Suasana di kawasan pokok getah amat
gelap sekali, tetapi mujurlah Zahar ada membawa lampu gasselin yang dibawa dari
warungnya untuk menerangi jalan yang dilalui, walaupun cahayanya samar. Pada
waktu sebegini kebanyakkan penduduk kampung telah lama lena di buai mimpi,
tetapi ada juga diantara mereka masih berjaga menonton “wrestling” tiap-tiap
malam Isnin di TV1 yang bermula pada pukul 11.30 tadi. Tetapi Zahar masih
dengan pendiriannya mengayuh basikal dalam kegelapan malam itu. Angin malam
makin menusuk tulang belulang Zahar dan membuatkan Zahar berasa mengerekot
sedikit menahan kesejukkan. Nun
di kejauhan sana terdengarlah lolongan anjing bersahut-sahutan seumpama
berpesta menyambut kehadiran larut malam. Bulan tinggi menegak menyinari satu
kawasan keramat kampung ini, kawasan yang di maksudkan itu tak lain dan tak
bukan ialah Kawasan Tanah Perkuburan Kampung Nesan dan lolongan anjing yang
berlarutan itu bergema(kedengaran) dari arah sana. Zahar mengingati semula
cerita arwah atuk. Kata atuk; jika kita terdengar lolongan anjing yang
memanjang pada larut malam, berkemungkinan anjing tersebut ada melihat sesuatu
makhluk halus melintas di hadapan anjing tersebut. Ceh, mana ada macam tu,
karut betullah cerita arwah atuk ni; bisik Zahar sendirian cuba menenteramkan dirinya selepas tersedar dari lamunannya.
PRRAKKK… ranting kayu berlanggaran sesama sendiri akibat hayunan sang angin
yang boleh men”suspen”kan kepada sesiapa yang mendengarnya pada ketika itu.
Zahar kembali mengelamun semula, kali ini teringatkan arwah si Milah pulak.
Milah semasa hayatnya ialah seorang perawan yang amat sempurna sekali dari
tingkah laku hinggalah kepada susuk tubuhnya. Tak hairanlah jika Milah menjadi
kegilaan jejaka yang mengenalinya. Boleh dikatakan semua anak muda kampung
menaruh hati kepada anak dara Haji Deraman ini. Hinggakan sanggup mengintainya
dibelakang pokok getah untuk melihat lenggok tari punggung Milah ketika
melintasi alur dalam kawasan pokok getah tersebut. Begitulah apa yang berlaku
semasa hayatnya Milah, sehinggalah dia meninggal dunia di kawasan pokok getah
ini pada waktu Maghrib semasa ingin pulang ke rumahnya. Punca kematiannya masih
menjadi tanda tanya, ada pendapat mengatakan Milah dibunuh selepas diperkosa
dan ada juga pendapat lain yang mengatakan arwah Milah mati terkejut selepas
tersampuk dengan Jin tanah pada waktu Maghrib itu. Segalanya menjadi misteri,
misteri yang sukar disingkap, misteri yang tiada bersaksi melainkan saksi
tunggalnya hanyalah pokok-pokok getah di sekitarnya. Zahar kembali tersedar dari lamunannya apabila angin
malam menolak kuat tubuhnya hinggakan basikal yang ditunggangnya itu hampir
terjatuh. Kreeok-Kreeak bunyi pedal basikal dikayuh. Angin kuat tadi masih
meyembam pada tubuhnya dan membuatkan Zahar terfikir mengapa angin pada malam
ini lain dari yang lain kerana biasanya angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa
kalau kuat pun sekejap-sekejap sahaja ataupun jika waktu nak hujan atau ribut
barulah angin akan bertiup sekuat ini. Dalam lekanya dia memikirkan angin pada
malam itu, tiba-tiba Zahar terdengar namanya dipanggil bertalu-talu dalam
keriuhan bunyi angin pada malam itu. Zahar tergamam apabila mendengar ada satu
suara yang memanggilnya nama. Bermacam-macam perasaan yang dirasainya, nak
menjerit, nak lari, nak menangis, rasa nak terkencing pun ada hanya tuhan
sahaja yang tahu penderitaan yang dialami oleh Zahar ketika itu. “Zahar,
Zahar.. Zahar tolonglah saya….”, bunyi suara yang memanjang itu masih lagi
kedengaran seolah-olah meminta simpati darinya. Badan Zahar semakin seram sejuk
mendengarkan suara tersebut. Suara tersebut seolah-olah datang untuk mencabut
nyawanya dan dia amat kenal siapa yang empunya suara tersebut. Angin masih lagi
menggila, dengan tidak berlengah-lengah lagi Zahar pun mengayuh basikalnya
dengan pantas dan basikal nya meluncur dengan laju. Dia ingin meninggalkan
kawasan pokok getah itu secepat mungkin supaya dapat mengelakkan bencana yang
akan menimpanya itu. Tiba-tiba basikalnya meluncur tidak selaju tadi dan
mula beransur perlahan, ini membuat hatinya berasa cemas. Kayuhannya semakin
perlahan tidak sepantas pada sebelumnya tadi, dia dapat merasakan basikal
mengalami perubahan seolah-olah basikal tersebut menanggung beban lebih berat
daripada badannya. Padahal tiada barang lain yang dibawanya melainkan lampu
gaselin yang tergantung pada ‘handle’ basikalnya itu. Zahar mula menyedari ada
benda lain yang mahu menggangu perjalanannya ketika itu, dia dapat merasakan
beban tersebut datangnya dari tempat duduk belakang basikal tuanya itu. Peluh
jantan Zahar mengalir mencurah-curah kerana mengalami keadaan yang tidak pernah
dialaminya sebelum ini. Zahar ketakutan hingga berdiri segala bulu roma yang
terdapat pada badannya. Tiba-tiba suatu suara menyapanya dari belakang, “Kenapa
menggeletar ni Zahar, sejuk ke?. Tak cukup dengan itu ditambah pula dengan
hilai ketawa serta satu pautan kemas
memaut pada bahu kirinya. Zahar mahu menjerit ketika itu tetapi lidahnya kelu
dan matanya berair macam nak menangis. Dalam ketakutan yang amat sangat itu
Zahar memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya
dirinya bahawa ada suatu benda yang
bertenggek di belakang basikalnya itu. Dia tidak dapat mengecam apa benda yang
menggangunya itu kerana benda itu kelihatan kabur dan berwarna putih kekuningan
serta wajah dan anggota badannya juga kelihatan kabur. Dengan segera Zahar
menepis tangan yang menjalar pada bahunya itu, Zahar menguatkan semangatnya
untuk mengayuh basikal itu sekuat-kuat hatinya. Deru angin masih lagi ligat
hingga menusuk rongga-rongga badannya dan dia masih lagi terdengar suara ketawa
yang berdekah-dekah dibelakangnya. “Bilalah nak sampai ni”, kata hati Zahar
cemas. Dia merasakan lorong pokok getah tersebut seolah-olah tiada
penghujungnya. Kayuh punya kayuh akhirnnya sampai juga dia di penghujung lorong
tersebut. Tetapi hatinya tidak pernah tenang selagi dia tidak sampai kerumahnya
apatah lagi suara dekahan tersebut masih lagi kedengaran walaupun sudah jauh
ditinggalkannya di dalam kawasan pokok getah sebentar tadi. Lagi sekali perut
Zahar kembali kecut apabila namanya dilaung-laungkan lagi. Zaharr! Zaharr!!!.
Pada masa itu dia terlihat satu benda putih di jambatan kecil dihadapan
seolah-olah sedang menunggu untuk mengacaunya sekali lagi. Dengan nekad Zahar
pun mengayuh basikalnya dengan pantas tanpa menghirau suara dan benda yang
berada di atas jambatan tersebut Zahar meredah juga jambatan tersebut untuk
sampai kerumahnya dengan segera. Akhirnya sampai
juga Zahar kerumah setelah bernekad untuk hidup atau mati semasa meredah
jambatan itu tadi. Dengan secepat mungkin dia mengetuk pintu dengan meneriak
mak dan ayahnya supaya membuka pintu dengan segera. Pak Lah membuka pintu
tersebut dengan segera, apabila terlihat anaknya dalam keadaan yang mencemaskan
itu Pak Lah pun bertanya apa yang telah terjadi kepada anak lelakinya itu.
Lidah Zahar masih kelu untuk menjawab pertanyaan ayahnya itu. Tanpa menjawab
pertanyaan tersebut dia terus kebiliknya dan membaringkan diri diatas katilnya.
Dia masih lagi teringat peristiwa yang menghantui dirinya sebentar tadi,
peristiwa tersebut masih segar dalam ingatannya dan sukar untuk dilupakan.
Tiba-tiba dia dikejutkan dari lamunan setelah pintu rumahnya diketuk-ketuk
orang. Selepas pintu dibuka oleh ayahnya terdengarlah suara bebelan emaknya.
“Mana anak lelaki bertuah awak tu?. Awak tahu tak masa saya balik dari surau
tadi saya ada tunggu budak Zahar tu dekat jambatan, bila nampak saya terus je
dia kayuh laju-laju tinggalkan saya dekat jambatan tu, panggil-panggil saya pun
tak diendahkannya. Dia ingat saya ni tunggul ke dekat jambatan tu menunggu
dia”. Pak Lah pula diam sahaja mendengar bebelan isterinya itu. Zahar pula
hanya terdiam mendengar sahaja perbualan mak dan ayahnya itu tersebut dari
dalam bilik. Barulah dia tahu rupa-rupanya benda putih yang ditinggalnya
dijambatan itu tadi ialah emaknya yang memakai telekung putih. Bagi Zahar
walaupun dia sudah tersalah sangka terhadap emaknya dia mestilah berhati-hati
semasa berjalan di kawasan pokok getah tersebut terutamanya pada waktu larut
malam. Dan bermula pada hari itu kepercayaannya terhadap makhluk halus semakin
kuat dan peristiwa seram pada malam itu menjadi pengajaran dan pengalaman pahit
yang sukar untuk dilupakan olehnya. Dalam benaknya masih tertanya-tanya apakah
benda putih kekuningan yang menggangunya pada malam itu. TamaT Rasa-rasanya inilah wajah makhluk tersebut!Ke Muka Surat 1 Ke Muka Surat 3 |