PENDIDIKAN MATEMATIK ABAD
KE-21
DELTA DALAM PERANAN GURU
[HYPATIA7][HOME][NEXT]
Pengenalan
Pendidikan merupakan
antara agenda utama dalam mana-mana negara, baik yang membangun mahupun
yang sudah maju. Dunia pendidikan adalah masa depan yang dijana pada
masa ini. Justeru, ianya diolah dan dirangkaikan dalam satu
ungkapan yang serba anggun dan agung demi mencapai cita-cita bangsa dan
negara.
Di Malaysia,
pendidikan memainkan dua peranan utama. Yang pertama sekali adalah
ianya sebagai satu wahana bagi menyediakan bekalan tenaga kerja masa depan
yang terlatih baik dalam bidang sains dan teknologi mahupun dalam bidang
kesusasteraan. Bekalan sumber manusia yang berkemahiran tinggi adalah
perlu bagi menjamin pergerakan dan pertumbuhan ekonomi negara. Selain
daripada menyediakan bekalan tenaga kerja futuristik, pendidikan juga berperanan
mencanai perwatakan generasi baru dengan perwatakan yang mulia. Melalui
sistem pendidikan formal, diharapkan pendidikan akan menghasilkan individu
yang seimbang dari segi pertumbuhan rohani, intelek, jasmani dan emosinya.
Arah tuju pendidikan
di Malaysia dengan jelas telah didoktrinkan dalam Falsafah Pendidikan Negara
yang mengatakan bahawa
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan
insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
beraklhak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonia dan kemakmuran masyarakat
negara."
Daripada pernyataan tersebut, dapatlah
dirumuskan bahawa pendidikan mempunyai tanggungjawab terhadap individu
secara mikronya dan masyarakat secara makronya. Senarai berikut meringkaskan
peranan-peranan tersebut.
Peranan Pendidikan
Terhadap Individu
-
Membentuk ciri-ciri sosial individu
-
Membentuk ciri-ciri positif sosial
individu
-
Membentuk nilai-nilai asasi individu
yang cemerlang
-
Membentuk individu yang berilmu dan
berkemahiran tinggi
Peranan Pendidikan
Terhadap Masyarakat
-
Sumber kemahiran dan ketrampilan
-
Sumber kebudayaan dan ilmu
-
Sumber pemupukan kepercayaan dan sistem
nilai
-
Menyediakan tenaga manusia untuk alam
pekerjaan
-
Pusat penjagaan belia, remaja, dan
kanak-kanak
Asam garam pendidikan
juga diberi perisa lebih berbisa oleh sembilan cabaran ke arah Wawasan
2020. Ianya merupakan sembilan cabaran ke arah mencapai status sebuah
negara yang maju. Di sini memadailah rasanya dikongsikan tiga daripada
cabaran tersebut yang berkait rapat dengan dunia pendidikan, terutamanya
pendidikan matematik.
-
Cabaran Kedua: Melahirkan
sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh, dan telah terbentuk jiwanya,
yakin akan dirinya sendiri, bangga akan keadaan kini dan segala sesuatu
yang telah dicapainya dan cukup tangkas untuk menghadapi segala macam rintangan.
Masyarakat Malaysia itu mestilah mempunyai sifat-sifat mengejar kecemerlangan,
benar-benar menyedari segala kemungkinan dirinya tidak terkongkong jiwanya
dan dihormati pula oleh semua bangsa lain.
-
Cabaran Kelapan: Menjamin
terbentuknya sebuah masyarakat yang adil ekonominya. Masyarakat itu
akan menjamin pengagihan kekayaan negara secara adil lagi saksama dengan
kemajuan ekonominya dinikmati bersama oleh setiap rakyat. Masyarakat
yang demikian tidak akan terbentuk selagi terdapat penentuan fungsi ekonomi
yang berdasarkan kaum dan pemusatan kemunduran ekonomi kepada kelompok-kelompok
kaum yang tertentu.
-
Cabaran Kesembilan: Membentuk
sebuah masyarakat yang makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaiangan,
bersifat dinamis, tangkas, dan mempunyai daya ketahanan.
Lihatlah betapa
ideal, optimistik, dan 'opportunistic'-nya agenda dan rancangan pendidikan
negara kita. Persoalan yang wajar ditimbulkan sekarang adalah adakah
proses pendidikan di sekolah-sekolah kita pada hari ini menjurus ke arah
tersebut? Apakah kekangan yang dihadapi dalam merealisasikan harapan
rencana pendidikan negara ini ditimbulkan oleh rencana itu sendiri, ataupun
pelaksana rencana tersebut? Adakah kita, para pendidik bumi Malaysia
sudah bersedia, atau menyediakan pelajar kita agar bersedia menghadapi
dunia baru yang bakal diterokai?
Jawapan kepada
persoalan-persoalan ini akan membawa anda kepada satu terjemahan minda
sahaja iaitu perubahan, perubahan dalam fungsi atau peranan pendidik matematik
pada abad ke-21. Tetapi mengapa perlu berubah? Bahagian seterusnya
akan membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan keperluan untuk berubah.
Perbincangan seterusnya hanya akan berkisar tentang pendidikan matematik.