Konstruktivisme
Sebagai satu falsafah pembelajaran,
konstruktivisme ini boleh dikesan balik sekurang-kurangnya kepada abad
ke-18 dengan hasil kerja oleh seorang ahli falsafah Neopolitan yang bernama
Giambattista Vico yang menyatakan bahawa manusia hanya akan memahami
dengan jelas apa yang mereka pelajari atau alami sekiranya mereka membina
sendiri makna bagi kegiatan yang mereka lakukan. Banyak lagi ahli-ahli
falsafah, terutamanya ahli psikologi yang menerokai falsafah beliau, tetapi
orang pertama yang bertanggungjawab memberi nyawa kepada fahaman ini adalah
Jean Piaget dan John Dewey. Fahaman ini telah dibaham oleh fahaman
yang berteraskan kepada tingkahlaku buat sekian lama kerana dunia pada
itu, malah hingga ke hari untuk di sesetengah negeri lebih memihak kepada
fahaman ahli psikologi tingkahlaku kerana hasil kajian mereka ini bersifat
zahir dan boleh dibukti berbanding hasil yang dibawa ke hadapan oleh ahli
psikologi perkembangan yang banyak menggunakan unsur-unsur abstrak dan
logik sahaja. Namun kini, dunia sudah mula menerima ideologi berteraskan
berkembangan sebagai satu ideologi bagi menampung kegagalan ideologi berteraskan
tingkahlaku.
Konstruktivisme ini merupakan
proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan di bina dalam
minda manusia. Mengikut fahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan
tidak boleh dipindahkan atau diturunkan daripada seorang guru kepada seorang
pelajar. Penurunan ilmu ini malah bukanlah bersifat genetik di mana
anak seorang guru tidak semestinya mempunyai pengetahuan ibunya.
Ahli psikologi konstruktivisme percaya bahawa pembelajaran adalah hasil
daripada usaha pelajar itu sendiri. Guru tidak boleh belajar untuk
pelajar. Pelajar hanya akan mengalami pembelajaran apabila mereka
membina pemahaman sendiri. Maka pembelajaran adalah satu proses pembinaan
makna oleh individu.
Di dalam melaksanakan pengajaran
menggunakan pendekatan konstruktivisme ini, aktiviti pembelajaran yang
dialami oleh pelajar hendaklah satu aktiviti pembelajaran yang menggalakkan
pelajar mencari makna kepada apa yang mereka pelajari. Untuk mencari
makna tersebut, pelajar perlulah memahami sesuatu konsep secara keseluruhan
mahupun secara bahagian-bahagian kecil. Ini adalah kerana otak kita
berfikir secara dua hala serentak, iaitu secara keseluruhan dan secara
bahagian kecil. Selari dengan keinginan kita untuk melihat pelajar
kita menggunakan fikiran mereka untuk menjanakan sesuatu makna, maka wajarlah
bagi seorang guru untuk memberi tumpuan kepada proses pemahaman yang dialami
oleh pelajar. Guru perlu mengetahui bagaimana pelajar mereka berfikir.
Guru perlu ambil tahu mengapa pelajar mereka membuat sesuatu anggapan.
Guru perlu menyelami segala apa yang berlaku di dalam diri pelajar untuk
mengetahui sejauh mana pelajar itu telah mengalami pembelajaran.
Ini akan menjadikan pengajaran guru tersebut menjadi satu pengajaran yang
berpandukan maklum balas yang diperolehi daripada pelajarnya.
Di dalam usaha untuk menggalakkan
pelajar menggunakan pemikiran aras tinggi, pelajar perlu dilibatkan dengan
aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka untuk membuat analisa, menginterpretasi,
dan membuat ramalan. Usaha sebegini sudahpun diperkenalkan kepada
guru-guru sains yang baru meninggalkan maktab perguruan masing-masing,
di mana mereka telahpun didedahkan kepada konstruktivism lima fasa.
Selain daripada itu juga, guru perlu menggunakan soalan-soalan yang mencapah
(open-ended) di mana satu persoalan akan membawa kepada persoalan yang
lain. Soalan sebegini akan memangkinkan proses pelajar berfikir mencari
makna sesuatu ungkapan. Untuk itu, seharusnya pelajar digalakkan
untuk belajar melalui perbincangan kumpulan kerana dengan latar belakang
pelajar yang berlainan dan kecenderungan pelajar yang pelbagai, sudah tentu
ianya akan memberi lebih perencah kepada seseorang individu.
Implikasi pendekatan konstruktivisme
ini terhadap kareer keguruan boleh dilihat dengan jelas melalui peranan
baru yang bakal disandang oleh guru matematik dalam mengharungi arus peredaran
zaman. Oleh kerana unsur yang paling penting dalam pendekatan ini
adalah pelajar diberi peluang untuk membina makna dengan sendiri, maka
peranan guru adalah untuk mencapai perkara tersebut sebagai matlamat akhir
pengajaran mereka terhadap sesuatu topik. Di antara peranan guru
tersebut adalah menyediakan situasi yang menggalakkan aktiviti matematik.
Situasi di sini termasuklah dengan penggunaan bahan-bahan pengajaran yang
konkrit dan juga separa konkrit. Tidak dinafikan bahan-bahan abstrak
juga akan digunakan apabila pelajar sudah mempunyai tanggapan mental yang
kukuh berkenaan sesuatu konsep. Untuk melakukan ini, guru hendaklah
menggunakan pengetahuan sedia ada pelajar sebagai satu langkah awal untuk
menyediakan mentaliti pelajar bahawa apa yang mereka pelajari adalah berguna
dan saling berkait di antara satu sama lain. Di samping itu juga,
guru perlu menyediakan pelbagai wacana untuk mewakilkan sesuatu konsep.
Di samping itu, guru perlu
melihat prilaku pelajar sebagai satu hasil pemikiran. Walaupun pelajar
telah membina satu konsep yang goyah, namun ianya menunjukkan hasil pemikiran
mereka. Ianya merupakan pemahaman pelajar pada masa tersebut.
Justeru itu, guru perlulah memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki
makna yang telah mereka capai dengan soalan-soalan yang mencapah, atau
dengan menyediakan bahan-bahan konkrit yang lebih berguna dan bermakna
dalam menyampaikan sesuatu konsep. Guru perlu memberi peluang sepenuhnya
untuk pelajar ini berbincang. Guru perlu sedar bahawa pembelajaran
yang berkesan berlaku semasa berlakunya konflik, kekeliruan, kekaguman
dan semasa interaksi. Pengajaran yang mengambil masa yang panjang
juga akan memberi lebih peluang kepada pelajar untuk menghasilkan suatu
pembelajaran yang berguna dan berkesan. Strategi-strategi ini menjurus
kepada pengajaran untuk kefahaman. Maksud pengajaran untuk kefahaman
adalah seperti yang tersenarai di bawah.