PENDIDIKAN MATEMATIK ABAD
KE-21
DELTA DALAM PERANAN GURU
[PREVIOUS][HYPATIA7][HOME][NEXT]
Pentaksiran Alternatif Dalam
Pendekatan Konstruktivisme
Pentaksiran merupakan asam
garam dunia pendidikan matematik. Apabila ianya dilaksanakan dengan
sempurna dan baik, ianya mampu menjanakan informasi
yang agung. Dapatan pentaksiran menyajikan
maklumat kepada pendidik tentang keberkesanan
pendekatan, strategi, atau teknik pengajaran yang
digunakan, justeru memberi suntikan kepada proses
pencarian kaedah mengajar yang lebih efisien. Bagi
seorang pelajar pula, hasil pentaksiran merupakan
satu indikator atau penunjuk kepada apa yang telah
mereka pelajari, apa yang masih perlu dipelajari
dan bagaimana cara terbaik untuk mempelajarinya. Di
samping itu juga, bagi pihak ibu bapa dan pemegang
saham yang lain, ianya memberi panduan tentang
bagaimana cara yang terbaik untuk memberi sokongan
dan dorongan kepada anak-anak mereka.
Dari kaca mata seorang pendidik,
pentaksiran merupakan satu proses di mana pendidik mengumpul
bukti, membuat inferens, membuat kesimpulan,
dan bertindak berdasarkan kesimpulan yang dibuat.
Pentaksiran itu adalah konstruktif apabila fokus
diberi kepada proses pembelajaran matematik di kalangan
pelajar di mana penaksiran itu sendiri menjadi
salah satu pemangkin ke arah pembelajaran matematik di
kalangan pelajar.
Dari kaca mata seorang pelajar
pula, pentaksiran dilihat sebagai satu wahana yang memberi peluang
kepada pelajar bagi mengetengahkan pemahaman
dan kemahiran matematik masing-masing. Ianya
mejadi medium komunikasi di antara pendidik dengan
pelajarnya tentang apa yang pelajar sudah pelajari,
apa yang masih kabur, dan tentang apa yang telah
membantu dan yang telah membantut proses
pembelajaran mereka, menjadikan ianya satu sumber
untuk mencadangkan tindakan yang bakal diambil.
Maka, pentaksiran itu adalah konstruktif apabila
ianya mampu menilai dan menghargai apa yang pelajar
sudah boleh buat dan pada masa yang sama, membantu
mereka mengenali bahagian pelajaran yang masih
perlu diberi perhatian.
Pentaksiran konstruktif dibina
atas lima prinsip utama.
-
Pentaksiran hendaklah mampu membuat perwakilan kepada
matlamat arahan atau pengajaran (instructional goals) dan nilai arahan
(instructional values)
-
Pentaksiran hendaklah menjadi satu wahana perkongsian
atau pertukaran maklumat di antara guru dengan pelajar, pelajar dengan
pelajar, pemegang saham (stake holders) dengan pelajar, dan seumpamanya
-
Pentaksiran hendaklah mampu melahirkan ekspresi atau
luahan yang optimum tentang pembelajaran pelajar yang sudah dialami oleh
pelajar
-
Pentaksiran hendaklah mempunyai nilai arahan
-
Pentaksiran hendaklah mampu memberi firasat atau
ramalan (anticipation) tentang tindakan yang wajar diambil perhatian terhadap
keberkesanan pembelajaran pelajar dan pengajaran pendidik
Suatu pentaksiran yang berteraskan
konsep konstruktivisme akan mengambil kira penggunaan alat
matematik dan kemahiran yang lazim dan tidak
lazim secara kontekstual. Pelajar akan bertindak dengan
memilih dan mensintesiskan kemahiran-kemahiran
ini untuk menyelesaikan masalah sebenar dan berguna
(novel problems). Untuk itu, pelajar wajar
dilibatkan dalam kumpulan kolaboratif dan melaksanakan
masalah tersebut sama ada dalam bentuk penyelesaian
masalah ataupun kerja projek. Dalam
menjalankan kerja-kerja projek ini, pelajar mungkin
perlu memilih dan menggunakan dengan sebaiknya
dan secara efisien teknologi masa kini.
Salah satu aspek dalam pentaksiran
konstruktif adalah penghasilan laporan kepada penyelesaian
masalah yang diajukan. Dengan cara ini,
pelajar akan menggunakan ide matematik masing-masing untuk
berkomunikasi. Selain daripada itu, aktiviti
refleksi secara berterusan, sistematik dan kritikal terhadap
pembelajaran masing-masing juga perlu diadakan.
Dengan itu, pendidik perlu bijak menggubal soalan,
merekabentuk bentuk aktiviti, mengumpul maklumat
dan menganalisis, serta menilai hasil daripada kerja
projek pelajar. Justeru itu, pendidik hendaklah
menjadikan tabiat sentiasa mengemaskini pengetahuan
masing-masing melalui pembacaan hasil penyelidikan
terdahulu.
Pentaksiran konstruktif juga
hendaklah merangkumi pentaksiran kegunaan bahasa matematik itu
sendiri. Ini adalah kerana matematik bukan
sekadar satu cabang ilmu yang mempersembahkan pelajarnya
dengan nombor dan simbol semata-mata, tetapi
ianya juga merupakan satu bahasa komunikasi. Justeru
itu, pelajar perlu dinilai sama ada mereka mampu
untuk membaca dan memahami ayat matematik.
Interpretasi pelajar perlu sejajar dengan maklumat
yang dibekalkan dalam soalan yang diajukan. Di
samping itu juga, pelajar perlu mampu untuk menyatakan
ide mereka secara matematik sama ada dalam
bentuk persamaan atau ayat matematik.
Pentaksiran konstruktif juga
mampu memberi penjelasan tentang kemahiran matematik yang sudah ada
atau sudah dipelajari oleh pelajar dan kemahiran
yang mana satu yang masih kabur. Cara penyelesaian
kepada sesuatu masalah secara lazimnya tidaklah
terhad (non exclusive). Pentaksiran itu adalah
konstruktif sekiranya ia mampu untuk memberi
input kepada pendidik tentang pelbagai jenis kemahiran
yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan sesuatu
masalah. Daripada pilihan pelbagai alat matematik
tersebut, pelajar akan memilih salah satu daripadanya
berdasarkan tahap pemahamannya.
Selain daripada itu juga,
proses pengajaran - pembelajaran berteraskan konstruktif ini meliputi pelbagai
jenis aktiviti yang menjurus kepada pembelajaran
secara koperatif. Justeru itu, alat pentaksiran tersebut
juga hendaklah selari dengan aktiviti-aktiviti
tersebut. Ini bagi memberi laluan kepada pentaksiran kepada
aspek kognitif, psikomotor dan afektif pelajar.
Justeru, satu bentuk penilaian yang menyeluruh dan lebih
kepada rujukan-kriteria, daripada rujukan-norma.
Ringkasnya, pentaksiran konstruktif
akan membezakan di antara pengajaran dan pembelajaran.
Adakah apa yang dipelajari oleh pelajar sama
seperti apa yang telah diajar oleh pendidik? Maka,
pentaksiran konstruktif ini merupakan satu cara
pertukaran maklumat di antara seorang pendidik dengan
pelajar-pelajarnya.
Terdapat pelbagai jenis alat
pentaksiran yang boleh digunakan. Di antaranya adalah Penilaian Melalui
Pemerhatian, Penilaian Melalui Interviu, Penilaian
Pencapaian (Performance Assessment), dan Portfolio.
Hanya dua daripada alat yang disebut tadi akan
dibincangkan dengan ringkas di bawah ini.
(a) Penilaian Melalui
Pemerhatian
Penilaian melalui pemerhatian adalah satu proses untuk menentukan apa yang
pelajar tahu
bagaimana hendak melakukan sesuatu tugasan atau
operasi dalam masa sebenar. Ianya merupakan satu
alat pentaksiran yang sesuai untuk mentaksir
aspek afektif dan psikomotr pelajar. Tujuan utamanya
adalah untuk membekalkan data yang bersifat objektif
tentang kualiti pencapaian pelajar, termasuklah
proses dan prosedur dalam menyiapkan tugasan
dan cabaran yang dihadapi sepanjang proses tersebut.
Maklumat ini boleh digunakan oleh pendidik dalam
merencanakan proses dan prosedur pengajarannya.
Masalah yang mungkin timbul dalam penilaian berdasarkan pemerhatian adalah
ketidakadilan
(bias). Masalah ini sebenarnya tidak akan
timbul sekiranya tingkahlaku yang ingin diperhatikan diberi
definisi secara objektif dan boleh dilihat sebagai
ada atau tiada. Sebagai satu panduan dalam
menggunakan kaedah pentaksiran ini, berikut adalah
perkara-perkara yang perlu dilakukan.
1. Fahami asas kepada pemerhatian
-
menyedari keadaan sekeliling
-
membezakan di antara tingkahlaku yang subjektif dan
objektif
-
membezakan di antara deskripsi dan membuat inferens
-
prasa soalan yang menghadkan pemerhati memerhati
tingkahlaku yang maujud dan zahir
2. Bersedia untuk membuat pemerhatian dengan
-
membuat keputusan tentang jenis tingkahlaku, tindakan,
dan kemahiran yang ingin diperhatikan
-
membuat keputusan tentang siapa yang akan menjadi
pemerhati
-
membuat pelan sampel
-
menyediakan borang pemerhatian untuk merekod kekerapan
sesuatu tingkahlaku, tindakan, dan kemahiran itu timbul
-
melatih pemerhati
3. Memerhati dan merekod bagaimana pelajar melakukan tingkahlaku
tersebut. Prosedur
pemerhatian ini boleh dalam bentuk formal ataupun tidak formal
4. Buat ringkasan atau rumusan kepada hasil pemerhatian dengan jelas
dan berguna sebagai satu
"feedback" kepada setiap pelajar dan kumpulan; dan bantu pelajar dalam
menganalisa data
pemerhatian dan membuat refleksi tentang bagaimana;
-
tahap efisien pembelajaran mereka
-
mereka boleh membantu rakan mereka belajar
-
mereka boleh mencapai tahap yang lebih efisien
(b) Penilaian Melalui Interviu
Interviu adalah satu proses interaksi di antara penemuramah, iaitu pendidik
dengan seorang atau
lebih orang yang ditemuramah (pelajar) di mana
soalan dan jawapan diolah dalam bentuk verbal. Ianya
merupakan satu sumber yang kaya dengan maklumat
tentang pemikiran, pemahaman, dan perasaan
pelajar terhadap matematik. Penilaian sebegini
lazimnya melibatkan satu set soalan yang disusun dalam
turutan yang paling sesuai bagi menjana pemerolehan
maklumat tersebut.
Prosedur intervie melibatkan pendidik bersemuka dengan pelajar semasa pelajar
menyelesaikan
masalah. Pelajar tersebut dibiarkan bekerja
dengan sendiri untuk mencapai penyelesaian kepada sesuatu
masalah. Pada masa yang sama, pendidik
hendaklah mengetahui apa yang dilakukan, mengapa
dilakukan, bagaimana melakukan, bila melakukan,
dan soalan-soalan jurnalis yang lain.