Bisa yang kau tinggalkan adalah untukku yang setia... Adilkah itu? BISA II Luka di seluruh tubuh Manja telah lama sembuh. Walaupun kesan parut masih boleh lagi kelihatan, itu semua tidak dipedulikan lagi oleh Manja. Apa yang Manja ingin lakukan ialah keluar semula ke dunia yang dia pijak. Merenung alam sekeliling dan meneliti akan nasib dirinya. Manja melangkah perlahan-lahan ke tasik buatan. Dia memandang sekeliling. Nyaman sekali dikelilingi oleh taman dengan bunyi kicauan burung yang pulang petang. Manja melabuhkan punggungnya di kerusi panjang, bersandar sambil menyilangkan kakinya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, menyapa lembut ke mukanya. Membuaikan rambut Manja yang panjang terurai; membuaikan juga perasaan Manja ketika itu. Telah tiga bulan abang Saifuddin ditahan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC). Dalam masa itu Manja telah menebalkan mukanya mengirimkan surat melalui ibu mertuanya supaya diberikan kepada abang Saifuddin. Bukan Manja tidak mahu menemui abang Saifuddin sendiri, tetapi keadaan ketika itu telah menghambat Manja dari berbuat demikian. Bagi Manja perbuatan abang Saifuddin waktu itu adalah dalam keadaan dia sedang 'gian', mabuk dan marah; ketika abang Saifuddin dalam situasi yang kurang waras. Manja tidak mahu mengaibkan lagi abang Saifuddin kerana luka-luka pada tubuhnya yang kelihatan begitu ketara sekali. Manja tidak mahu dipandang kasihan oleh masyarakat sekeliling dan terus menerus tohmahan dilemparkan kepada abang Saifuddin. Itulah bukti cinta dan sayangnya pada abang Saifuddin. Telah berpuluh-puluh surat dikirimkan untuk abang Saifuddin. Namun tiada balasan. Adakah abang Saifuddin terlalu marah pada dirinya; kerana telah membiarkan kakaknya Rina campur tangan dalam rumahtangga mereka dengan melaporkan perihal abang Saifuddin pada pihak polis? Atau abang Saifuddin tidak mahu memaafkan Manja lagi? Dan apa yang paling dikhuatiri oleh Manja adalah abang Saifuddin telah tidak perlukan Manja lagi. Persoalan ini selalu mengetuk-ngetuk benak fikiran serta menghantui perasaannya! Senja kian berlabuh. Tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Manja memandang di sekelilingnya. Kanak-kanak yang lincah bermain-main di sekitar taman buatan manusia tadi telahpun pulang bersama-sama ibu-bapa mereka. Manja perlahan-lahan bangun. Entah mengapa sejak dari peristiwa itu dia seakan tidak boleh bangun dari pendudukkannya dengan pantas. Terasa sakit di sekitar dada Manja. Namun Manja membiarkan sahaja. Di benaknya sekarang adalah samada dia akan menerima surat balasan dari abang Saifuddin ataupun tidak. Itu yang selalu Manja fikirkan ketika dia pulang dari taman ini. Seperti yang Manja lakukan saban hari, dia akan melewati rumah ibu mertuanya dahulu; yang tinggal bertentangan dengan blok yang dia tinggal. Manja amat bersyukur ke hadrat Illahi. Ibu mertuanya tidak pernah menyalahkan Manja mahupun menyisihkannya. Malah dia amat bersimpati terhadap Manja. Mungkin dia amat mengerti dugaan yang dialami Manja sekarang ini. Tidak sesekalipun dia menyalahkan atas tindak-tanduk Manja. Mungkin juga kerana dia sudah masak dengan perangai dan tabiat anaknya Saifuddin. Kali ini wajah ibu mertuanya agak berlainan. Ada secebis keceriaan terpancar di wajahnya. Seperti kebiasaan, Manja akan hanya menunggu di luar pintu rumah itu. Soalan yang ditanya, adalah sama seperti hari-hari yang sudah. Lantas ibu mertuanya menghulurkan sepcucuk surat. Manja pulang. Sesampai di rumahnya, dia meletakkan dengan cermat surat itu di atas meja makan. Lantas dia mencapai tuala. Pergi mandi. Manja tidak mahu membaca surat itu dengan keadaan dirinya yang kurang bersih. Walau apa juga isi yang terkandung di dalam surat itu, Manja tetap mahu kelihatan bersih dan kemas; seperti waktu-waktu abang Saifuddin masih di rumah ini. Biarpun kini hanya surat sahaja yang ada di depan mata Manja. Begitu sekali sayangnya Manja terhadap abang Saifuddin. Manja mencapai surat yang telah diletakkan di atas meja makan tadi. Lantas dia duduk di sofa sambil membuka sampul surat itu. Hanya selembar sahaja warkah yang dikirimkan oleh abang Saifuddin. Sayangku Manja, Maafkan abang kerana kelewatan membalas surat Manja. Telah tiga bulan abang di dalam pusat tahanan dadah. Sehingga ketika ini, abang masih belum boleh mempercayai lagi bahawa Manja masih mahu mengutus surat untuk abang yang tidak berguna ini. Dari kaca mata keluarga Manja, mungkin juga di kaca mata masyarakat; abang adalah seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan kejam; sanggup memukul Manja tanpa belas kasihan. Dalam erti kata yang lain, abang adalah suami yang tidak mempunyai hati perut! Sayangku Manja, Maafkan abang sekali lagi, kerana telah mengabaikan tanggungjawab abang sebagai suami selama ini. Abang juga berdosa kerana membiarkan Manja memendam rasa dan sekaligus merana. Abang yang selama ini Manja cintai dan hormati, telah bergantung hidup dengan hasil dari pencarian isteri. Sepatutnya abanglah yang keluar mencari rezeki untuk kita berdua. Sepatutnya abanglah yang menjadi pelindung bagi Manja. Dan sepatutnya, abang tidak layak untuk dijadikan oleh Allah yang bernama manusia! Sayangku Manja, Mungkin Manja tertanya-tanya dalam hati, mengapa abang hanya membalas dengan sehelai sahaja kertas sedangkan Manja telah mengirimkan berpuluh-puluh pucuk surat untuk abang? Di sini kami hanya dibenarkan sehelai kertas sahaja untuk berutus surat beserta dengan nombor 'ahli' yang tertera di atas kertas ini. Manja, kini abang rasa betul-betul insaf di atas perbuatan abang. Kalau dulu abang keluar dari pusat ini tanpa kesedaran dan keinsafan, kini abang terkenang akan Manja dan juga ibu abang yang telah saban hari berkunjung ke sini, tanpa jemu. Abang ada juga bertanyakan khabar Manja pada ibu. Tepatlah apa yang abang jangkakan, luka di tubuh Manja masih lagi kelihatan. Manja tidak mahu sama sekali memalukan abangkan? Abang cukup mengenali Manja. Terimakasih Manja, itu sahaja yang dapat abang luahkan walaupun luka di hati Manja tak mungkin sembuh akibat dari perbuatan abang selama ini. Abang kesal Manja, dan itulah yang telah menyedarkan abang kini. Sayangku Manja, Abang akan berada di sini selama 15 bulan lagi; seperti waktu pertama kali abang masuk di pusat ini. Jagalah dirimu baik-baik selama abang di sini. Walaupun Manja berhak untuk menentukan masa depan Manja, tapi abang berharap sangat Manja dapat menunggu abang, biarpun abang rasa, abang tidak layak menagih kesetiaan Manja lagi. Sekian. Dari suamimu yang jahil, Saifuddin |
||||
Dari : Taman Adinda @ Maya Binte Esa Tarikh : 21 September 2000 |