BISA "Memang patut dia dihukum, setimpal dengan kesalahannya," getus Rina dengan rasa puas. Kini tidak ada lagi orang yang boleh menganiaya adiknya lagi. Lima tahun lalu adik Rina bernama Manja, telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Saifuddin. Perkenalan yang bermula di majlis pertunangan kawannya telah merapatkan sekali hubungan antara Manja dan Saifuddin. Boleh dikatakan sejak perkenalan mereka Rina membantah keras kerana usia Manja baru menjangkau 20 tahun. Pada pendapat Rina usia yang sebegini adalah terlalu muda untuk menjalin hubungan cinta. Ini kerana waktu mula Rina bercinta dengan suaminya dulu, ketika itu Rina berusia 28 tahun. Usia yang Rina anggap ranum dan sesuai untuk melangkah ke alam rumahtangga. Rina sendiri berusaha sedaya-upaya untuk memajukan diri, ekonomi dan memelihara kedua-dua orang tua Rina yang usia mereka telah agak lanjut. Rina tidak mementing diri sendiri seperti mana Manja ini. Puas sudah Rina menasihati Manja agar lupakan sahaja Saifuddin yang masih berada di pusat pemulihan dadah (DRC). Setahu Rina, baru 3 bulan usia perkenalan Manja dengan Saifuddin; dia telah ditangkap kerana mengambil dadah heroin. Lepas setahun berada di pusat pemulihan itu, Saifuddin dibenarkan keluar dan hubungan Manja dan Saifuddin kembali terjalin. Sedaya-upaya, Rina cuba memisahkan mereka dengan berbagai cara. Ini kerana Saifuddin sudah pandai meminta, meminjam malahan berani memerasugut Manja dengan alasan bahawa dia akan tinggalkan Manja, jikalau tuntutannya tidak dipenuhi. Rina memberi bermacam-macam alasan yang munasabah untuk Manja berfikir akan kebenaran kata-kata Rina yang lebih berpengalaman. Sehingga Rina perkenalkan rakan sejawatan Rina yang lebih muda dari Rina dan sepadan dengan Manja. Itupun tidak mendatangkan hasil. Manja tetap berkeras untuk terus bersama dengan Saifuddin yang amat dicintainya. Cinta! Apa yang Manja faham akan perkataan cinta itu? Rina tiada pilihan lain lalu menyuruh ayah Rina memberi persetujuan supaya Manja dapat mendirikan rumahtangga dengan Saifuddin. Biarpun mereka sekeluarga amat berat untuk merestui perkahwinan antara Manja dan Saifuddin. Setelah 2 bulan usia perkahwinan Manja, Saifuddin mula membuat fasal dengan ibu dan ayah Rina. Dengan Rina serta suaminya, tidak usah diceritakan lagi; memang mereka 'tidak sebulu'. Saifuddin bagai tidak tahu diri yang dia menumpang di rumah mereka. Setelah bergaduh besar dengan Rina dan suaminya, Saifuddin membawa Manja keluar dari rumah dengan menyewa sebuah flat jauh dari tempat tinggal mereka. Rupanya Saifuddin dalam diam telah memohon dengan Lembaga Perumahan (HDB) untuk menyewa flat 3-bilik. Rina sangka mereka dapatlah persefahaman dalam membina rumahtangga yang bahagia. Rupanya tidak!. Saifuddin tidur di rumah waktu siang hari dan berseronok pada malam hari. Manja yang bertungkus-lumus menyara keperluan mereka berdua. Biarpun begitu Manja tidak berani 'angkat muka' pada Saifuddin atau berani mengadu hal pada kedua ibu-bapa Rina mahunpun Rina, kakaknya. Rina rasa Manja mesti takut Rina 'memulangkan paku buah keras' kepadanya! Tiga tahun Manja hidup berendam airmata, dan pada suatu hari Manja menelefon bahawa dirinya telah dipukul-bantai oleh Saifuddin. Rina apalagi, bergegas ke rumah adiknya bersama suaminya. Alangkah terkejutnya apabila Manja membuka daun pintu rumahnya - bagai tidak mempercayai apa yang Rina lihat pada ketika itu. Muka, badan, tangan dan kaki Manja, penuh dengan lebam dan luka-luka yang masih lagi berdarah!. Setelah Manja menceritakan segala-segalanya Rina bertekad biarlah kali ini Saifuddin membayar segalan ganti-rugi yang selama ini Manja yang menanggungnya. Rina membawa Manja ke hospital bagi menjalani pemeriksaan doktor untuk mendapat pengesahan bahawa Manja telah dipukul-bantai secara kejam. Selepas itu baru Rina membuat laporan polis! Dari: Taman Adinda @ Maya Binte Esa Tarikh : 26 September 1999 |