"Hai, Intro Please...!" |
Aku terbaring di kerusi malas. Pinggangku terasa teramat sakit. Sakit kerana terlalu lama berdiri dengan membuat tugasan harian. Mungkin juga kerana usia kandunganku yang hanya menunggu masa sahaja. Aku meraba-raba perutku yang kadang-kala terasa terlalu tegang. Kadang-kala hilang. Dikala inilah aku selalunya cemas. Maklumlah suamiku belum pulang lagi dari pejabat. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Lambat sungguh masa berlalu. Suamiku hanya akan pulang dari pejabat pada 5.30 petang. Aku meraba-raba perutku lagi. Ketegangan yang aku terasa tadi telahpun beransur hilang. Aku bangun dengan perlahan-lahan dan penuh hati-hati. Aku memandang sekeliling rumahku. Sudah tiada apa yang boleh aku capai untuk menyibukkan diriku, lantas aku mengeluarkan album persandinganku. Bagaikan baru semalam sahaja aku disandingkan di atas pelamin. Saat-saat manis ketika itu begitu membahagiakan sekali. Masakan tidak, dalam usiaku yang telah menjangkau 28 tahun, barulah aku ditemukan jodoh. Kalau hendak diikutkan, aku sememangnya terasa malu sungguh, maklumlah, di kala umurku ini aku hanya layak digelarkan ANDALUSIA - Anak Dara Lanjut Usia; barulah terasa naik pelamin, di hari persandinganku - bukan yang olok-olok! Manakala rakan-rakanku yang lain, mereka sudah pun mempunyai anak-anak paling sikit dua orang dan paling ramai empat orang. aku pula baru sahaja melangkahkan kaki ke alam rumahtangga! Fikiranku melayang di hari kami ditunangkan, 18 September 1998, tarikh yang tak bisa aku lupakan sehingga kini dan mungkin selamanya! Janji dari pihak lelaki, mereka akan sampai selepas Asar. Aku telah siap didandan jam 3 petang hari itu. Dalam pada itu aku juga sibuk menerima panggilan rakan-taulan terasuk juga panggilan dari bakal tunanganku, Imran. Tapi aku memanggilnya Im, lebih mesralah katakan. Dalam debaran yang melanda di hatiku, Im masih lagi mahu berbual sambil menambahkan lagi kegusaranku. Aku terdengar ada tetamu memberi salam. Kami yang di rumah ini, termasuk aku menjawab salam. Allah! Kenapa rombongan Im tiba awal dari yang dijanjikan? Jantungku berdegap-degup dengan pantas. Walaupun rombongan Im datang awal dari spatutnya, pihak keluargaku menerima rombongan Im dengan tangan terbuka. Akhirnya 'ritual' majlis pertunangan serta adat menyarung cincin berjalan dengan lancar. Dalam pada itu, sempat juga makcik Im memberikan sekeping kad kecil dari Im. Selepas aku mencium tangan makcik Im tanda hormat, sepantas kilat aku menyelitkan surat kecil itu di pendudukanku. Cemas juda jika saudara-maraku ternampak apa yang aku lakukan tadi. Malam itu setelah saudara-maraku pulang, aku menuju masuk ke bilikku lantas terus membuka laci meja solek. Ibu bapaku sibuk mengemas rumah selepas tetamu yang akhir tadi pulang. Aku terus membuka kad tersebut. Wangi! Surat itu tertulis: 'Maaf ye sayang....kerana datang awal. Im yang merancang sebegitu. Mai pun tahukan, Im ni "G"'. Aku ketawa berdekah-dekah tanpa segan-silu lagi. Tidak tertahan rasanya gelihatiku. Bagaikan digaru-garu! Nak tahu apa maknanya "G" itu? G-E-L-O-J-O-H! Amacam?! Aku mencapai diariku yang setahun lalu telah tersimpan di laci ini. Aku membuka lembaran muka surat ke tanggal 09 July 1998. Lantas terus saja aku membaca. Inilah kali pertama aku bertemu dengan Im @ Bateri. 'Oh! Inilah rupanya budak Bateri ni,' getus hati kecilku. "Hai Im!" sapaku. Lantas kuhulurkan sebuah beg kotak untuknya. "Maiiiiii.....!" panggilnya dengan manja. "Apa yang ada dalam beg ni?" tanya Im agak terkejut apabila aku menghulurkan beg tersebut. "Im ingat tak, Im kata, Im tak pernah rasa epok-epok keledek udang kering? Dalam beg ni ada enam keping. Khas Mai buatkan untuk Im". "Ini mak buat ke Mai?" ternyata ada senyuman sinis di sebalik pertanyaannya. "Mestilah Mai. Im ingat orang tak pandai buat ke?" jawabku separuh berseloroh. Kami berjalan. Destinasi kami yang pertama ialah panggung wayang! Kali ini kenangan aku melayang terus ke saat ketika kamu bertemu di ruang siberchat. Sebentar cuma, hanya 'intro please' dan pertukaran nombor telefon. Teringat ketika Im menelefonku - aku mengatakan bahawa aku tak sihat sebab sakit tekak - hanya untuk mengelak dari berbual denganya setelah mendengar suaranya yang pada pendapatku kurang enak untuk didengari telingaku. Aku mula mempersendakan Im dengan menutup telefon bimbitku di waktu Im hendak berbual denganku. Aku mengusiknya dengan cara menukar pelbagai lagu di peti simpanan suara telefon bimbitku. Setiap kali bila dia menelefonku, akan aku berjanji membalas panggilannya. Tapi tidak pernah aku kotakan. Peti simpanan suaraku pun mulai penuh. Penuh dengan rayuan supaya aku membalas panggilannya! Setelah 5 hari aku berbuat begitu dan setelah aku terperasan sendiri bahawa perilaku aku yang kurang adab itu, aku mulai memberinya peluang, lantas aku menelefonnya. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Masih aku ingat lagi. Di waktu itu pula dia berada di dalam lif. Dapatku bayangkan betapa dia agak terperanjat menerima panggilanku di malam hari. Masakan tidak, sehingga aku telah diberi gelaran "Wanita Melayu Terakhir Yang Penuh Alasan". Lucukan! Semenjak peristiwa itu, kami sering berbual. Selama sebulan kami berbual di telefon. Oleh kerana sifatku yang semula jadi pemalu, aku membiarkan sahaja Im berbual mengenai dirinya, hidupnya dan perihal keluarganya. Dialah yang menjadi Tok Selampit, bercerita tentang 'Sang Kancil Dengan Buaya' lagaknya. Ketawanya persis tok tok saja! Tersentak aku dari lamunan. Kali ini perutku terasa begitu amat sakit. Mahu rasanya aku menjerit sekuat hati. Dalam pada aku menahan sakit ini, loceng di pintu berbunyi. Tidak sempat aku menutup diariku dan menyimpannya. Aku bangun perlahan-lahan lalu berjalan menuju ke pintu. Pintu dibuka. Apabila Im melihat keadaan diriku yang terbongkok-bongkok, dia terus sahaja membuka mangga pada pagar pintu rumah kami. Dia masuk ke dalam rumah lantas mengangkatku ke bilik. Kemudian dia menelefon ambulans. Aku kini berada di wad bersalin. Rupanya inilah rasa sakit hendak bersalin. Terasa sakit yang amat luar biasa. Sakit yang dari pagi tadi hanya datang dan pergi, tapi kini berterusan. Aku bagaikan hilang tenaga. Hanya semangat yang tinggal untuk melahirkan zuriat Im, bukti cintaku pada Im. Aku melahirkan kini. Terdengar tangisan bayiku. Selepas itu aku lemah, lemah-selemahnya dan pandanganku semakin gelap. Aku terasa ada tangan yang penyentuh lembut pipiku. Aku membuka mata dan memandang sekeliling. Pada ketika itu, yang ada hanyalah Im. Lantas dia berkata, "Hai.... Intro Please!" |
Dari : Taman Adinda June 2000 |