Hasri melemparkan pandangan jauh ke lautan. Dilihatnya bot-bot dan tongkang-tongkang keluar masuk dari laluan kecil di Marina Bay. Masih seperti dulu juga. Cuma kenderaan laut kini kelihatan jauh lebih baik dari dulu. Ya, 13 tahun dulu. Di sinilah dia dan Kalimah sering menghabiskan masa. Tak tahulah kenapa. Cuma dia dan Kalimah memang gemar ke sini; di Merlion ini, berdiri sambil memandang jauh ke lautan. Kalau dulu dia dan Kalimah tidak perlu berdiri di jambatan highway ini. Dulu highway ini tidak ada. Dia dan Kalimah hanya perlu berdiri di bawah sana untuk melihat lautan terbentang luas. Selama 13 tahun ini telah banyak perubahan di tempat ini. Tempat dia memadu janji. 'Kalimah... Imah... Abang telah jauh berubah. Adakah Imah telah berubah juga? Atau Imah masih seperti dulu-dulu? Takpelah Imah, kita bakal bertemu nanti. Jam 6 petang nanti kan? Abang akan tunggu Imah. Nasib baik hari ni mendung aje. Hehehehe... abang awal sangat ni. Baru jam 5 petang.' Getus hati Hasri lantas tersenyum sendiri. Dia cuba mengagak bagaimana rupa Kalimah sekarang ini. Gemuk ke, makin kurus ke, atau masih manis seperti dulu. Hasri menghela nafas panjang. Dia mengalihkan pandangan ke Merlion di hadapannya. Simbahan air dari mulut singa duyung sentiasa mencurah-curah dan simbahan itu mengalun bunyi yang mendamaikan bagi dirinya. Terngiang-ngiang di telinganya suara adik Kalimah, Azimah; waktu dia cuba menghubungi Kalimah semalam. "Kak Imah tidur abang." "Dia tengah tidur eh? Kalau gitu takpelah Az. Nanti abang telefon lagi." Suara Hasri sedikit hampa. "Eh! Takpe..takpe! Aaahhh!. Abang nak jumpa dengan Kak Imah eh. Aaaa...ni mesti ada cerita baik punya ni.." Azimah mengusik. "Macam mana Az tau ni. Eemmmm.. abang sebenarnya... sebenarnya... abang pulang ni nak jumpa dia la. Emm... sekarang ni dia dah bangun belum?" "Belum lagi. Kira settlah abang. Jumpa besok jam 6 petang ok. Confirm tau ni." Gagang telefon diletak. Walaupun agak tergesa-gesa perbualan mereka, Hasri tidak mengambil hati. Dia faham keadaan mereka sekarang. Dia juga masih ingat; Kalimah memang suka tidur lepas waktu Zohor. Sebelum waktu Asar pasti Kalimah akan bangkit. Sesuatu yang tidak berubah pada Kalimahnya! Harap-harap Kalimah masih lagi macam dulu. Terbayang-bayang wajah Kalimah 11 tahun dulu; setahun selepas mereka diijabkabulkan. Sedih, pilu terpancar di wajahnya, wajah Kalimah yang dianiaya. Dianiaya perasaannya cukup-cukup. Madu yang Kalimah beri, tuba yang Hasri balas! "Abang! Janganlah tinggalkan saya. Tolonglah!" Pinta Kalimah tanpa ada rasa segan silu lagi di hadapan pegawai mahkamah. "Keputusan aku muktamad. Aku dah tak sayangkan kau. Aku lebih sayangkan Jueita." Kasar suara Hasri. Kedua belah tangannya masih rapi di dalam kocek seluarnya, walaupun ditarik-tarik oleh Kalimah. Terimbau segala kenangan pahit sewaktu di luar pejabat mahkamah dulu. Kalimah cuba mengembalikan Hasri kepangkuannya. Dia menghulurkan sekeping gambar persandingan mereka kepada Hasri. Namun telah digenggam dan diramaskan gambar tersebut, menjadi renyok! Dilemparkan gambar tadi ke wajah Kalimah yang sayu. Lantas kaki dihayun. Namun belum pun jauh Hasri melangkah, dia menoleh. Kalimah telah memungut gambar tersebut lantas dia cuba merata-ratakan kembali gambar yang telah renyok itu. Lalu Hasri terus memaling dan melangkah terus untuk mendapatkan Jueitanya yang telah sekian lama menanti! 'Aaahhh! Ini semua gara-gara tugas aku yang asyik ulang-alik ke luar negeri. Kalimah aku abaikan, tapi Jueita; aku simpaikan kasih. Perempuan jalang! Aku takde di rumah, lelaki lain kau bawak masuk!' Radang sekali hati Hasri apabila mengenangkan Jueita yang menduakan dirinya. "Assalamualaikum. Abang Hasri?" kedengaran suatu suara. Suara yang Hasri masih kenal. Dia menoleh. "Aaa.. .Azimah. Mana Kalimah?" Hasri agak kecewa. Bukan Kalimah yang menegurnya. "Ala... releks la Abang Hasri. Wah! Abang Hasri makin kacaklah." Azimah mengusik. Wajah Hasri berubah sedikit dek pujian bekas adik iparnya itu. Gembira bertamu di hatinya apabila dipuji sebegitu. "Azimah, macam mana sekolah?" Hasri tersenyum kambing. "Apalah Abang Hasri ni, Az dah kerja la. Bukan budak sekolah waktu Abang dengan Kak Imah masih bersama dulu. Hehehe.... Jangan marah ah! Oh ye. Ini ada sesuatu untuk Abang Hasri dari Kak Imah." Azimah menghulurkan sepucuk sampul surat. Hasri menyambutnya. "Apa ni Az. Mana Kak Imah kau?" Berkerut dahi Hasri. "Kitaorang semua tunggu Abang Hasri kat bawah tu. Kat situ ada kafe. Abang harus buka sampul surat tu bila Az dah sampai kat kafe sana tu ok. Janji eh!" Hasri mengangguk walaupun ada jalur curiga bermain di benak fikirannya. Pandangannya menghantar Azimah yang telah meninggalkan dirinya. Janji tetap janji. Bila Azimah telah sampai dan masuk ke dalam kafe tersebut, barulah dia akan buka sampul surat dari Kalimah. Kelibat Azimah tidak lagi kelihatan. Perlahan-lahan jari-jemarinya merobek dengan cermat hujung sampul surat tersebut. Isinya dikeluarkan. Sekeping gambar persandingan dia dan Kalimah! Gambar yang pernah dia ramas dulu! Gambar yang telah Kalimah kutip semula! Hasri tersenyum pahit. Dia melangkah untuk ke kafe. Barangkali ada kejutan untuk dirinya di sana! Pintu kafe ditarik. Matanya melingas-lingas mencari raut wajah yang dikenali. Azimah melambai ke arahnya; menandakan mereka semua sedang menanti Hasri di sudut kafe itu. "Duduklah Abang Hasri." Azimah memperlawa Hasri duduk. Lelaki yang duduk di sebelah Azimah bangkit. Untuk berjabat tangan. "Waah! Diam tak diam... Azimah dah pun berpunya." Hasri menghulurkan tangannya. "Saya Roslan. Suami Kalimah." Terduduk Hasri apabila terdengar kalimah SUAMI dari mulut Roslan. Wajah yang mempamerkan kurang percaya jelas terpancar dari raut Hasri. Lama juga Hasri membisu seakan cuba mencantumkan kenangan dan kenyataan sekaligus. "Mana Kalimah Az?" tanya Hasri, apabila badai dalam hatinya telah reda; walaupun bukan sepenuhnya. "Kalimah dah meninggal dunia.." Jawab Roslan. Tenang. "Meninggal dunia???" "Ya. Kalimah dah takde. Dia meninggal selepas 40 hari melahirkan anak kembar kami." Suara Roslan semakin sayu apabila menyebut tentang anaknya. "Macam mana kau boleh kenal dengan Kalimah hah!" Suara Hasri mulai meninggi. "Saya nampak Kalimah waktu awak lemparkan gambar tu ke mukanya dulu." Terang Roslan. "Dasar duda, pantang nampak janda orang!" Hasri mendengus. "Waktu tu saya bujang Hasri." Roslan tersenyum sinis. "Abis sekarang kau dengan adik Kalimah pulak?" Hasri menyerkap jarang. Suaranya mendatar saja namun kemarahan sangat jelas dari nadanya. Radang betul hatinya. Radang kerana Kalimahnya telah diambil orang. "Sabar dulu Hasri--" Roslan menoleh ke bawah apabila terasa lengan baju yang dipakai ditarik-tarik. "Abah, Merlion tadi ada air keluar tau dari mulut dia." Anak itu tersenyum lalu mengambil tempat duduk di antara Hasri dan Roslan. "Ini anak saya, bukan dengan Azimah, tetapi anak saya dengan Kalimah. Kembar anak saya turut meninggal. 17 hari selepas dilahirkan." Jelas Roslan. Hasri menoleh memandang wajah anak itu. Begitu mirip sekali dengan wajah Kalimah. Tanpa disedari, tangannya mencapai tubuh anak itu, lantas memeluknya. "Kalimah!" Airmata Hasri menitis dari ekor matanya. "Abang Hasri." Azimah memanggil nama itu. Hasri terkedu sebentar. Dia melepaskan tubuh munggil itu. Tersenyum dia memandang wajah anak kecil itu lantas memperkemaskan pakaiannya. "Kenalkan... ini Amri, tunang Azimah." Mereka bersalaman. "Saya rasa, saya harus pergi dulu." Hasri mula bangkit dari kerusinya. "Nanti dulu. Simpanlah gambar tu. Kalimah tidak pernah marah atau berdendam pada awak. Itu yang Kalimah beritahu kepada saya. Jadi, saya harap gambar tu dapat menimbulkan kenangan manis buat diri awak. Begitu juga saya." Roslan melihat ke dalam mata Hasri. Terbit rasa kasihan pada insan yang berada di hadapannya. "Saya minta diri dulu." Hasri bangkit lantas bersalaman. Dengan longlai dia mengorak langkah keluar dari kafe tersebut dan empat pasang mata menghantarnya pergi. "Abah.. macam mana pakcik tu tau nama adik Kalimah?" Roslan hanya mampu menghela nafas panjang. Dari: Maya Esa Selasa 18 October 2005 15 Ramadhan 1426 |
Kelembutan |