Kesempatan Yang Terlewat!
"Hey Linda, kau jangan takut tak kahwin. Aku ni emak engkau. Aku masih belum puas lagi makan hasil dari duit kerja kau!" bentak Mak Som.

Aku hanya duduk di kerusi sofa di ruang tamu. Aku tidak mahu menjawab. Buruk padahnya nanti. Umi yang sudah berumur masih bertenaga lagi untuk meninggikan suaranya. Acapkali bila Karim datang bagi menyatakan hasratnya untuk menghantar wakil ke rumah aku, umi pasti akan meminga tempoh. Ini bukanlah sekali-dua Karim datang untuk bertanyakan hal ini, bahkan telah 6 kali. Enam kali dalam temph enam tahun! selama enam tahun jugalah aku dileteri dengan alasan yang sama.

Aku rimas sekali apabila dileteri begini. Lantas aku bingkas. Bangun menuju ke kamarku. Umi yang masih belum puas meleteri aku, terus mengekoriku. Di depan pintu, dia berleter lagi.

"Kau jangan lupa, adik kau tu masih di NUS lagi, tahun ini adalah tahun akhirnya. Kau mesti bantu kami". Di hatiku, aku tidak lupa fasal semua itu. Tapi adakah umi telah terlupa yang aku ini 13 tahun lebih tua dari adikku!

Aku masih ingat lagi ketika pertemuanku dengan Karim. Aku diperkenalkan oleh rakan karibku. Setelah kami mengenali hati budi masing-masing. Dari detik pertemuan dengan umilah hingga 6 tahun begini. Setiap tahun Karim terpaksa pulang dengan perasaan yang hampa. Aku menghormati Karim dan juga menyayanginya. Enam tahun dia berulan-alik menghantarku pulang setiap kali kami keluar bersama. Tetapi aku bukanlah anank dara yang sewenang-wenangnya beriadah dan membeli-belah setiap Sabtu dan Ahad. Aku mempunyai jadual waktu yang disiapkan oleh umi. Seperti hari biasa, pulang rumah terus aku dipastikan menyapu lantai. Waktu selesai makan aku ditugaskan mengemas dapur. Hari Sabtu dan Ahad aku dimestikan menjahit baju untuk umi dan adikku. Sebelah tengahari pula aku mesti memasak. Apabila selesai memasak, barulah aku menyambung pekerjaan menjahitku. Giliran adikku hanyalah melipat baju yang sudah kering. Itu saja kerjanya, anak dara yang telahpun menjangkau usia 23 tahun. aku bukanlah cemburu atau iri hati pada adikku, tetapi umi tidak adil!

Baru aku sedari, telah lama aku tidak bersua dengan Karim. Telah hampir 1 bulan. Mungkinkah dia sibuk? Aku menghubungi Karim. Kami bertemu. Karim kelihatan agak cengkung. Mungkin hampa dengan sikap umi.

"Linda, abang bukannya hendak memburukkan umi, tapi telah 6 kali abang meminta keizinan untuk membawa rombongan abang, tapi jawapan umi Linda tetap sama macam dulu juga. Linda tentu tahukan, kita telah lama berkawan. Abang sayangkan Linda. Keluarga abang dan juga ibu abang gembira kalau kita dijodohkan". Aku hanya tunduk membatu. Betapa aku mengerti perasaan Karim.

**********************************************************

Telah hampir setahun aku tidak berjumpa dengan Karim. Penghidupanku tetap seperti dulu. Semakin hari aku pendamkan dukaku, menjeruk rasa. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga akan kata-kata akhir Karim... 'Linda, abang harap, Linda dapatlah pujuk umi ye. Percayalah, abang akan tetap menyayangimu'.

Kini keluargaku telah jauh berubah. Adikku telahpun mendirikan rumahtangga. Umi pula tidak seperti dulu lagi. Seringkali keluar-masuk hospital akibat lelah. Adikku tidak lagi tinggal dengan kami. Baru 2 minggu yang lalu mereka berpindah. Mungkin mereka tidak selesa semenjak umi mengidap lelah dan kadang-kala membebankan. Suatu hari umi memanggilku.

"Linda, suruhlah Karim hantar rombongannya," umi berkata dalam nafasnya yang tercungap-cungap

Betapa aku gembira sekali. Di kala usiaku 38 tahun dan usia Karim yang menjangkau 41 tahun, barulah umi bersedia menerima Karim.

Kini aku akan bertemu lagi dengan Karim. Telah lebih setahun kami tidak bertemu. Ternyata dia gembira menemuiku. Kami makan malam bersama. Tempat mula-mula kami berkenalan dulu.

"Linda, abang baru sahaja bertunang dengan seorang gadis. Ini adalah pilihan ibu abang. Insya Allah hari langsungnya dalam masa 5 bulan lagi. Semenjak kali ketujuh abang datang menemui umi, abang berjanji tidak mahu lagi mengganggu anaknya; jika niat suci abang ditolak. Itu janji abang pada ibu abang. Cuma Linda jangan risau ye, ibu abang tetap tidak berdendam pada Linda sekeluarga. Mereka menganggap kita berdua memang tiada jodoh".

Mendengar kalimat itu, aku tidak dapat lagi berkata-kata. Hanya juraian airmata yang berbicara!
Dari : Taman Adinda
October 1999