<BGSOUND src="//www.oocities.org/panca_delima/userfiles:/user/talesofthecryptX.mid">

Takutke?


      Aku duduk bersendirian di rumah. Ibu bapaku telah keluar sejak siang tadi. Mereka hanya akan pulang seminggu dari hari ini. Tinggallah aku seorang diri. Kekadang seronok juga bersendirian di rumah dua tingkat ini. Macam raja dalam istananya.

      Selepas solat Isyak, aku turun ke dapur untuk membancuh air milo. Keropok dalam tin masih banyak lagi. Setahu aku, baru kelmarin tin ini sudah aku kosongkan ke dalam perutku. Mungkin ibuku telah menambah keropok yang telah digoreng ke dalam tin ini. Haiii...Anak emaklah katakann. Aku naik semula ke ruang tamu di atas. Lantas aku menghidupkan televisyen dan mematikan suis lampu di seluruh rumahku. Barulah macam pawagam! Dan rancangannya ialah perlawanan bola sepak, bisikku seakan pengacara televisyen lagaknya.

      Sedap mengunyah sambil menonton bola sepak. Walaupun bergelap, aku tidak rasa gementar, malahan berasa seronok. Mentelah lagi dengan sistem mini teater yang baru dibeli 2 bulan lepas. Apalagi bunyi sorakkan dalam siaran perlawanan bola sepak mengaum memecah kesunyian malam di rumah dua tingkat ini. Tapi tak kisahlah, rumahku terletak di penghujung Lorong H ini. Lagipun jiran sebelah rumahku belum pun pulang dari makan angin. Biasalah cuti sekolah begini, masa panjang dan sesuai untuk bersama keluarga; melancong keluar negara, menghindarkan dari hiruk-pikuk dan hingar-bingar bandar kosmopolitan ini.

      Sedang aku bersorak dengan jaringan gol yang disumbatkan oleh Patrik Bergeer, aku terdengar bunyi seperti pintu mangga terhentak-hentak pada pagar besi. Tapi bunyinya macam bunyi keropok yang aku kunyah lepas aku masukkan ke dalam mulutku. Aku memberhentikan kunyahanku. Hening. Ah! Tak mungkinlah! Takkanlah ibu bapaku yang pulang. Dia orang dah berlepas ke  Medan. Tapi kalau iapun, takkan tak jadi pergi. Aku memperlahankan bunyi dari televisyen. Lantas walaupun dalam gelap aku mengintai, melihat siapa yang pulang. Lama aku mengintai lebih kurang 5 minit. Tapi tiada siapapun berada di luar pagar. Lalu aku kembali ke sofa. Aku menguatkan suara televisyen.


      Aku bersorak lagi. Kali ini Ole Gunnar Solskjaer pula yang menyumbatkan bola ke dalam gawang pihak lawan. Dua-dua pasukan pun aku sorakkan. Tak kiralah! Asal ada gol sudahlah! Detik hatiku. Dalam pada aku bersorak, aku terdengar loceng pintu berbunyi. Ah! menggangu betullah! Adik aku agaknya. Tak ada kunci ke dia? Tapi kata adik aku, dia tak pulang, tidur rumah kawannya. Maklumlah adik aku ni perempuan. Jalan waktu siang tak mahu. Bila dah malam takut sendiri nak pulang. Nak suruh aku jemput dia balik, tooolong sikit. Tak kuasa aku. Getus hatiku di luar. Aku menjengah keluar kalau-kalau ada tetamu yang duduk di kerusi untuk menghilangkan kepenatan sambil menunggu aku membuka pintu. Maklumlah loceng berbunyi berkali-kali sebelum aku menuruni anak tangga tadi. Ai! Tak ada orang juga! Mungkin perasaan aku agaknya!

      Aku menutup daun pintu lantas terus menaiki anak tangga. Siaran perlawanan bola sepak sudah pun tamat. Ish! Tak pasal-pasal aku tak dapat menonton pasukan manakah yang menjuarai perlawanan tersebut. Ah! Salah aku juga. Ada ke bunyi loceng pintu boleh sama dengan keropok yang aku kunyah tadi? Kali ini aku tidak mahu lagi berfikiran yang bukan-bukan. Aku menukar siaran siri mata-mata gelap. Aku duduk di sofa semula tanpa mengunyah apa-apapun. Aku tenggelam dengan suspen yang dihadirkan dari siri itu.

      Tiba-tiba aku terdengar bunyi gelas tingkat berderai ke lantai. Ah! Apa pulak ni. Kacau daun betullah! Marah di hatiku tidak terkata. Kini aku tidak peduli lagi. Dalam kemarahan yang meluap-luap, aku bagaikan seorang detektif, perlahan-lahan menuruni anak tangga. Satu persatu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Apa yang perlu aku takutkan. Aku ini anak lelakilah! Pantang nenak-moyang aku, anak lelaki penakut. Di sekolah pun aku memang terkenal dengan sifat berani. Berani matilah katakan! Puji diriku sendiri.

      Sesampai aku di dapur dengan secepat kilat tanpa dapat dikesan oleh 'tetamu malam' ini, aku menghidupkan suis lampur dapur. Aku beristighfar...........

      "Ya Allah! Kenapa dengan abang ni. Ada pintu depan, nak masuk pintu belakang. Orang tahulah yang abang ni dalam 'Police Tactical Team'. Takkan tak cukup latihan kat tempat kerja abang!" Marahku.

      "Aku ada ketuk-ketuk manggga pagar. Bila kau orang tukar kunci. Aku tekan loceng berkali-kali, tak juga kau bukak pintu. Aku dengar bunyi bising aje dari atas". Radang abangku.

      Aku serta abangku bersepakat untuk mengemaskan pecahan gelas tingkap esok pagi. Tapi di dalam hatiku terbetik juga pertanyaan kenapa muka abangku pucat lesi macam ternampak hantu. Tapi aku tidak meneruskan niatku. Bimbang juga kalau-kalau abang aku naik angin pulak. Aku mematikan suis lampu dapur lantas membontoti abangku dari belakang. Tiba-tiba loceng pintu berbunyi lagi. Kami saling berpandangan. Dengan tidak semena-mena bulu tengkuk dan tanganku berdiri. Entah mengapa aku terasa lain macam aje. Wajah abangku turut berubah semula sebagaimana sewaktu aku terlihat dia di dapur tadi.

      Abangku mengintai dari bawah daun pintu. Tiada kaki. Dengan perlahan-lahan abangku berdiri lalu membuka pintu. Rupanya abang sulung kami membuat
'split' di antara kedua-dua tembok sebelum pintu masuk. Dengan menaik-naikan kedua-dua keningnya, gayanya persis penyanyi Ziana Zain; dia berkata, "Takutke?"


Dari: Taman Adinda
          (Maya Binte Esa)