Di Penjara Rindu
Di serambi aku berdiri memandang sekeliling
Pohon-pohon bersinar dek pancaran mentari petang
Silau pandanganku, ku kecilkan mata ini

Melihat kenderaan meluncur laju
Laju menuju ke destinasi
Tumpuan diberi tujuan dipenuhi
Dan aku masih di sini, memerhati

Sang hati mulai berkata
Wahai arjunaku sayang
Mengapa sepi tanpa berita
Rindu ini tidak terkandung
Dek sanubari yang hanya segenggam tanganmu
Lemah jiwaku seharian
Terasa seperti ada kepincangan

Wahai arjuna, sesungguhnya aku terlalu rindu
Sepi aku di serambi menanti
Walaupun ditemani bunyian kenderaan meluncur pergi
Tidak ku tahu kemana hendak ku bawa
Hati ini yang rawan rindu lara

Arjuna sayangku, hati ini meronta-ronta
Kehadiranmu aku pinta
Sepi jiwaku, ku tahan airmata ku tahan gelodak sukma
Jasadku kelihatan biasa, tapi batinku? Rensa!

Igauanku kelmarin, kau hadir di sisi
Aku mendengar bait-bait katamu
Hampir sekali ke telinga ini
Nafasmu umpama bayu membuai halwa deria
Dirimu terlalu rapat denganku
Hangat terasa asmara, ku pendam sahaja

Peraduanku semalam, antara lena dengan tidak
Hati ini bagai digodak
Tebaran asmaramu sampai kemuncak
Resak sungguh dalam tidur ini
Hembusan rindumu jiwaku gelisah
Sukmaku terpanah kesunyian ini berdarah
Wahai arjuna..... aku PARAH!



17 August 2002
3.30pm