EPILEPSI
Epilepsi
atau sawan babi merupakan gangguan yang menyebabkan serangan berkala yang
berlaku apabila impuls elektrik otak terganggu. Ada dua jenis serangan epilepsi.
Bentuk grand mal melibatkan serangan konvulsi yang berulang.
Serangan ini boleh menyebabkan anak pengsan dan mengalami kekejangan yang
berterusan selama satu minit. Anggota badannya akan meronta-ronta, gigi
terkancing (semasa ini lidah anak mungkin tergigit), kencing yang tidak terkawal
dan berbuih di mulut. Selepas konvulsi, anak biasanya akan tidur.
Jenis
epilepsi petit mal tidak melibatkan konvulsi. Keadaan pengsan hanya
berterusan selama beberapa ketika sahaja dan mata anak kelihatan memandang
kosong. Anak tidak mendengar atau melihat apa-apa. Bentuk epilepsi jenis ini
biasanya tidak dapat dikesan dan tidak dikenalpasti sebagai epilepsi. Walaupun
epilepsi jenis ini berbeza daripada konvulsi grand mal, serangan petit
mal yang kerap boleh mengganggu kehidupan anak, terutamanya dalam
persekolahan dan aktiviti luar seperti menunggang basikal. Epilepsi biasanya
penyakit keluarga dan tidak ada kaitan dengan kecacatan mental.
Kira-kira
tiga hingga lima peratus daripada kanak-kanak dalam lingkungan umur bawah enam
tahun mengalami konvulsi tetapi ramai daripada mereka hanya mengalami konvulsi
febril tidak berbahaya. Keadaan ini timbul apabila berlaku gangguan elektrik di
otak yang berpunca daripada suhu badan yang tinggi.
Adakah
keadaan ini serius?
Epilepsi
bukan merupakan gangguan yang berbahaya. Setiap kanak-kanak biasanya akan
mengatasi keadaan petit mal di akhir zaman remaja mereka. Walau
bagaimanapun, kanak-kanak yang menghidap epilepsi grand mal
memerlukan pertimbangan yang khusus sepanjang hayat mereka walaupun keadaan ini
boleh dikawal oleh penggunaan dadah. Anak yang menghidap penyakit epilepsi jenis
ini memerlukan pengawasan semasa melakukan aktiviti seperti berenang dan
menunggang basikal.
Tanda-tanda
Grand
mal
- Pengsan
- Kancing gigi
- Anggota badan mengalami
kekejangan dan meronta-ronta
- Kencing tidak terkawal
- Mulut berbuih
Petit
mal
- Anak seakan-akan termenung
buat beberapa ketika dan tidak sedar
Apakah
tindakan pertama?
Semasa
serangan grand mal
- Lindungi anak anda daripada
kecederaan dengan mengalihkan perabot supaya anggota yang meronta tidak
menghantuk objek keras.
- Longgarkan pakaiannya di
leher dan dada.
- Sentiasa berada di sisi anak
sehingga serangannya berhenti.
- Jangan cuba meregangkan
rahang mulut jika berlaku kancing gigi atau cuba memasukkan benda ke dalam
mulutnya. Sebarang kecederaan yang berlaku pada lidahnya berlaku di
permulaan serangan. Oleh itu, tidak ada apa yang anda boleh lakukan sehingga
serangan ini berhenti.
- Sebaik sahaja serangan
berhenti, iringkan badan anak supaya dia tidak tercekik pada lidah atau
liurnya.
- Perhatikan apa yang berlaku
semasa serangan ini. Pemerhatian anda dapat membantu doktor membuat
diagnosis.
Semasa
serangan petit mal
- Alihkan anak ke tempat yang
selamat jika dia berada di jalan atau di atas tangga.
- Pastikan anda berada di sisi
anak sehingga serangan epilepsi berhenti.
Perlukah
saya berjumpa doktor?
Bawa
anak berjumpa doktor sebaik sahaja serangan epilepsi berhenti, tidak kira sama
ada anda mengesyaki serangan konvulsi tersebut adalah jenis grand mal
atau petit mal.
Apakah
tindakan doktor?
- Jika anak mengalami serangan
konvulsi, doktor akan melakukan pemeriksaan untuk menentukan jenis epilepsi.
- Jika konvulsi yang dialami
anak adalah jenis berulang, anak akan dirujuk ke hospital untuk menjalani
ujian makmal. Ini mungkin melibatkan ujian darah untuk memeriksa kandungan
glukos dan kalsium, ECG (elektrosefalogram) dan mungkin pengimbasan otak
untuk menentukan bahagian otak yang terlibat. Semasa imbasan, otak anak akan
dirangsang, misalnya, dengan cahaya strob supaya sebarang keadaan luar biasa
dalam otak dapat dikesan oleh alat pengimbas. Beberapa ujian ini juga
digunakan untuk membuat diagnosis bagi serangan petit mal.
- Pakar pediatrik hospital
akan mengesyorkan ubat antikonvulsan yang perlu diambil setiap hari bagi
mengurangkan kekerapan serangan grand mal. Serangan jenis ini tidak
boleh diubati.
- Keadaan anak akan dikaji
semula dari semasa ke semasa. Jika serangan tidak berlaku selama satu atau
dua tahun, doktor mungkin akan menghentikan pengambilan ubat.
Bagaimanakah
saya boleh membantu?
- Anda mungkin akan berasa
terkejut apabila mengetahui anak mengalami epilepsi dan kedua-dua ibu bapa
dan anak perlu memulihkan yakin diri masing-masing. Doktor akan menasihatkan
anda tentang cara menagani masalah ini.
- Catatkan kekerapan serangan petit
mal anak dan berikan maklumat ini kepada doktor.
- Awasi anak dan laporkan
sebarang perbezaan mental atau personaliti yang mungkin timbul hasil ubat
yang diambil. Ubat perlu diambil mengikut jumlah yang ditetapkan untuk
mengelak berlakunya kesan sampingan.
- Layan anak seperti biasa.
Beritahu rakan-rakan atau guru tentang masalah anak supaya mereka tidak
berasa takut atau terperanjat apabila berlaku serangan epilepsi.
- Jika anak diberi ubat
antikonvulsan, jangan hentikan pengambilan ubat tanpa nasihat doktor.
Penghentian memakan ubat akan menyebabkan konvulsi yang berpanjangan selepas
beberapa hari.
- Latih anak untuk mengenali
tanda-tanda sebelum serangan epilepsi. Ada pesakit yang mengalami perasaan
aneh seperti bau yang busuk, gangguan penglihatan atau perut rasa tidak
sedap. Perasaan ini dikenali sebagai "aura" dan jika anak sudah
boleh mengenali tanda-tanda amaran ini, dia mungkin dapat mengelak daripada
berlaku sebarang kemalangan
Stoppard,
Miriam. Panduan Penjagaan Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 98 - 99.
Copyright © 2004 uitm_ot - All rights reserved