Memulihkan pesakit STROK


        SECARA umum, tidak ramai di kalangan kita yang mengetahui tentang kaedah rawatan atau proses pemulihan sesuatu jenis penyakit dengan mendalam sehinggalah kita sendiri atau ahli keluarga yang menghidapinya. Kurangnya maklumat atau pengetahuan berhubung sesuatu jenis penyakit menyebabkan kita beranggapan bahawa penyakit yang dihidapi itu sukar untuk dipulihkan atau sekurang-kurangnya diminimumkan.

        Bagi penyakit yang serius seperti strok atau lebih dikenali sebagai angin ahmar, pesakit sebenarnya berpeluang dipulihkan sekiranya mereka menjalani proses pemulihan yang betul dan tepat. Pakar Perunding Kanan Neurologi dan Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Raymond Azman Ali berkata, meskipun proses pemulihan ini tidak dapat menjadikan keadaan pesakit kembali normal seperti sebelum serangan strok, sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan komplikasi akibat strok ini.

        Menurut beliau, kurangnya pengetahuan di kalangan ahli keluarga pesakit strok menyebabkan proses pemulihan mereka tidak sempurna. Proses pemulihan yang tidak sempurna ini menyebabkan hampir sebahagian besar pesakit tidak dapat dipulihkan. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan peluang pesakit untuk pulih semakin tipis,'' katanya.

        Strok merupakan salah satu daripada penyakit gangguan fungsi otak yang berlaku secara tiba-tiba. Penyakit vaskular ini biasanya berlaku kepada individu yang berumur 45 tahun ke atas akibat beberapa faktor risiko. Ini termasuklah hipertensi, diabetes, tabiat merokok dan paras kolesterol yang tinggi.

Terdapat dua jenis strok yang berlaku di kalangan mereka yang telah berumur iaitu:

Infark

        Iaitu kematian suatu tisu pada kawasan kecil setempat yang berlaku akibat kekurangan bekalan darah yang tidak mencukupi. Dianggarkan 80 peratus kes strok berlaku akibat infark. Infark berlaku apabila salah satu saluran darah yang membawa oksigen ke otak tersumbat. Ia terbahagi kepada dua iaitu:

a) Trombotik
    Ia disebabkan oleh pembekuan darah dalam salah satu saluran darah. Darah beku ini mengakibatkan aliran darah tersumbat, tetapi tidak pecah. Pembekuan darah ini berlaku akibat pengumpulan kolagen dan kolesterol di dinding saluran darah.

b) Embolik
    Strok embolik berpunca daripada serpihan darah beku yang mengalir dari satu tempat ke tempat yang lain. Contohnya, dari jantung atau salah satu daripada saluran darah di leher ke saluran darah di otak.

Pendarahan

        Dianggarkan 20 peratus daripada kes strok berlaku akibat pendarahan. Pendarahan berlaku apabila salah satu daripada saluran darah pecah di otak. Antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya pendarahan ialah:

        Sel-sel otak dapat diselamatkan sekiranya pendarahan yang berlaku dalam saluran darah otak ini dapat dikeluarkan dengan segera. Bagaimanapun, lokasi dan jumlah pendarahan juga diambil kira sebelum pembedahan dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

        Strok atau juga sebenarnya dikategorikan sebagai serangan otak yang menyebabkan gangguan peredaran darah di otak merupakan pembunuh ketiga di Amerika Syarikat dan penyebab utama ketidakupayaan. Menurut Prof. Raymond, meskipun proses pemulihan ini tidak dapat menjadikan pesakit kembali pulih kepada asal, sekurang-kurangnya dengan proses pemulihan yang betul ia dapat mencegah komplikasi strok. Komplikasi strok ini berlaku ekoran pesakit yang telah hilang upaya dan tidak mampu untuk mengurus diri mereka.

Antara komplikasi pesakit ialah:

Tekanan pada kulit

    Tekanan pada kulit ini lama-kelamaan boleh mengakibatkan radang kulit dan akhirnya kudis kulit. Bagi mengatasi masalah ini, kedudukan pesakit perlu diubah setiap dua hingga empat jam sekali.


Kaedah pemulihan

        Secara purata, pesakit hanya perlu berada di wad antara tiga hingga tujuh hari sahaja.Dalam tempoh tersebut penjaga akan didedahkan dengan kaedah-kaedah serta teknik-teknik yang betul berhubung penjagaan pesakit semasa di rumah. Dianggarkan 90 peratus proses pemulihan dijalankan di rumah pesakit.

        Selain memudahkan keluarga pesakit, ia juga bertujuan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada hospital. Ini kerana lebih lama pesakit tinggal di wad, lebih lama tempoh pemulihan mereka kerana terdapat lebih banyak komplikasi, terutamanya jangkitan.

        Bagi mencapai matlamat ini, kontraktor binaan yang berpengalaman akan membuat lawatan ke rumah pesakit bersama jurupulih cara kerja (occupational therapist) untuk membuat pengubahsuaian sebagai kemudahan pesakit untuk bergerak.

        Pasukan pemulihan strok yang terdiri daripada pakar-pakar saraf perubatan, pegawai perubatan, jururawat, pegawai fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan akan terlibat dalam proses pemulihan ini.

        Selain itu, pegawai kebajikan, pakar pemakanan, ahli farmasi dan jururawat penjagaan di rumah tidak terkecuali. Pesakit yang tinggal di kawasan dalam lingkungan 20 kilometer dari HUKM berpeluang mendapat khidmat jururawat penjagaan di rumah ini.

        Kaedah pemulihan akan diberi bergantung kepada kepakaran yang dimiliki dalam pasukan strok ini. Pakar perubatan yang mengetuai pasukan ini akan bertindak memberi pendidikan dan kaunseling kepada pesakit dan keluarga mereka.

        Jururawat pula berfungsi memastikan supaya pesakit tidak mendapat komplikasi semasa tinggal di wad. Selain itu, kebersihan pesakit seperti menggosok gigi, membersihkan najis antara aspek penting juga perlu dititikberatkan.

Bergantung kepada keperluan pesakit, mereka mungkin memerlukan:

Tilam beralun

Tilam angin yang boleh mengembang dan mengempis mengikut masa supaya tekanan pada tilam berubah-ubah.


            Sekiranya pesakit memerlukan bantuan kewangan, pegawai kebajikan akan berusaha mendapatkan bantuan kewangan untuk keperluan pesakit.

 

 

Copyright © 2004 uitm_ot - All rights reserved