Menangani
Isu Politik dan Konflik Politik Kepartaian
M. Ridhwan Bin Alias
09:30am
29 Sept 2005
Lebih 5 dekad kita berpolitik dengan
menggunakan sistem demokrasi melalui pilihanraya.
Kini, tibalah masanya kita menilai semula
keberkesanan sistem demokrasi dalam pembentukan
agenda umat Melayu-Islam di negara ini.
Persoalan ini timbul kerana sistem demokrasi
yang kita amalkan semakin mewujudkan golongan
bertentangan sehingga berlakunya pertarungan
yang merobek perpaduan umat Melayu-Islam.
Kehancuran perpaduan umat Melayu-Islam
bermakna kehancuran proses pembentukan
bangsa Malaysia. Tidak dinafikan kita
mempunyai perbezaan pendapat di antara
satu sama lain kerana kita mempunyai pengalaman,
tahap pendidikan dan kepentingan semasa
yang berbeza tetapi biarlah pertarungan
ini dalam ruang lingkup yang sihat iaitu
bersifat mulia-bestari, beradab dan kondusif.
Pertarungan politik yang mengancam perpaduan
diantara umat Melayu-Islam telah mewujudkan
politik dendam akan memusnahkan kekuatan
umat Melayu-Islam. Natijah daripada sikap
pelampau dalam politik ini, umat Melayu-Islam
sekarang bertindak dan berfikir dalam
kerangka politik parti mereka. Fenomena
ini sememangnya menjadi barah dikalangan
pengikut bawahan. Sebagai contoh, sembahyang
di masjid berlainan tempat dalam kampung
yang sama dan pembahagian bantuan berdasarkan
parti tertentu. Politik dendam yang menjadi
pilihan umat Melayu-Islam disebabkan ketidakfahaman
mereka dalam menangani isu politik dan
konflik politik kepartaian sehingga memusnahkan
nilai kemanusiaan dan Islami yang perlu
dipelihara.
Perkataan politik berasal daripada perkatan
Greek iaitu polis bermaksud bandar, negara
dan bijaksana. Abdul Hamid al Ghazali
mendefinisikan politik sebagai keahlian
memerintah dan menjalankan negara; kekuatan
dan kemampuan untuk meraih tujuan politik.
Dalam konteks moden, politik boleh dimaknakan
sebagai suatu ilmu memerintah yang diatur
dan ditadbir oleh sesebuah pertubuhan
politik. Sebenarnya, umat Melayu-Islam
baru sahaja mengenali politik bercorak
institusional yang berkiblatkan Barat
dengan penubuhan pertubuhan bercorak politik
seperti Kesatuan Melayu Muda, Partai Kebangsaan
Melayu Malaya dan UMNO. Selama ini umat
Melayu-Islam telah terbiasa dengan sistem
politik naungan yang bergantung harap
kepada kepimpinan personal.
Keseluruhan pimpinan umat Melayu-Islam
tertakluk kepada idea bertuankan kepada
para sultan atau pembesar. Ini bermakna
pengikut atau rakyat dalam struktur masyarakat
Melayu-Islam dihubungkan dengan konsep
hamba tuan kepada kepimpinan personal
yang mempunyai daulat, karisma dan wibawa
yang diabsahkan melalui tradisi atau melalui
undang-undang yang diinstitusikan. Pemimpin
politik juga bertindak sebagai protector
(pelindung) dan patron (penaung) kepada
rakyat atau pengikut. Kedatangan British
telah mengubahkan budaya politik pimpinan
personal Melayu kepada kepimpinan Melayu
bercorak institusi melalui parti politik.
Walau bagaimanapun, budaya feudal tersebut
tidak diberesi secara lumat oleh British.
Impaknya, muncullah ‘orang-orang’
tertentu dalam parti pemerintah yang bercakaran
sesama sendiri.
Hadirnya sistem demokrasi berpilihanraya
di Tanah Melayu menyebabkan munculnya
parti politik seperti PAS dan UMNO yang
cukup berpengaruh dalam masyarakat Melayu-Islam.
Pertembungan kedua-dua parti Melayu-Islam
ini seringkali tidak terkendali sehingga
mewujudkan suasana permusuhan di kalangan
pendukung kedua-dua parti. Api permusuhan
ini semakin marak sehingga isu yang memerlukan
kebersamaan sukar dijalinkan kesepakatan.
Akibatnya umat Melayu-Islam sendiri akan
menanggung kerugian dan ia akan menguntungkan
pihak lain yang berkepentingan.
Permusuhan ini disebabkan oleh perebutan
kuasa pemerintahan sehingga kedua-dua
pihak gagal melihat perbezaan diantara
kepentingan politik dan kepentingan politik
kepartaian. Berparti bermakna kita berpolitik
tetapi berpolitik tidak bermakna kita
berparti. Kita boleh melihat insan berjalur
bebas seperti aktivis mahasiswa sosialis,
Hishamuddin Rais yang memperjuangkan hak
kemanusiaan dan keadilan berdasarkan fahaman
sosialis beliau tanpa parti. Iman as syahid
Hasan al Banna menyifatkan politik tanpa
parti adalah politik mutlak dimana ia
melihat hal ehwal dalaman umat dan luarannya
tanpa mengaitkan dengan kepartaian. Oleh
sebab itu, isu-isu seperti isu Anwar,
isu hudud dan tahanan ISA perlu dilihat
dalam konteks pemaknaan politik yang lebih
luas melepasi sempadan parti politik.
Isu-isu tersebut melibatkan persoalan
hak asasi manusia dan Islami.
Manusia atau organisasi yang bersikap
non-partisan boleh berpolitik dengan makna
boleh menyatakan pandangan dan isu-isu.
Perjuangan politik tanpa parti berdasarkan
prinsip dan isu politik bukannya politik
kepartaian yang berorientasikan mengejar
kekuasaan. Oleh sebab itu, pendukung politik
tanpa parti boleh membuat pertimbangan
rasional dan adil dalam menilai sesuatu
perkara. Segala pertimbangan akan dilakukan
berdasarkan nilai keadilan dan kebenaran
bukannya meraih undi atau kepentingan
parti politik.
Ketidakfahaman tentang politik dan politik
kepartaian cukup membarah dipelbagai lapisan
umat Melayu-Islam. Paling memilukan apabila
para pemimpin parti politik dan cerdik
pandai Melayu bagaikan berpesta dengan
ketidakfahaman ini bagi mengaut keuntungan
perut mereka. Mereka bangga memperbodohkan
rakyat dengan mengapi-apikan permusuhan
dan meneruskan diskriminasi-diskriminasi
agar pihak bertentangan terus memusuhi
mereka.
Terasa teramat malang jika kita meneropong
suasana politik mahasiswa Melayu di kampus-kampus
nasional yang turut terkena tempias politik
dendam dan diskriminatif. Suasana permusuhan
yang dilebarkan oleh budaya politik kepartaian
turut menggugat suasana keintelektualan
di universiti yang selama ini dianggap
neutral dan berautoriti sifatnya. Kader-kader
parti mula bertarung dalam pilihanraya
kampus dalam suasana yang tegang. Universiti
yang dilihat sebagai taman keilmuan dan
diharapkan melahirkan intelek-intelek
‘insan al kamil’ telah menjadi
sarang menetaskan benih-benih perpecahan
ummah.
Menurut Yusof al Qaradhawi dalam Fiqh
Daulah, berbilang parti politik ini perlu
berada dalam kerangka kesatuan akidah
Islam dimana matlamat utama adalah menegakkan
kekuasaan Ilahi tetapi perbezaan yang
berlaku hanya pada persoalan pendekatan
sahaja. Kekeliruan yang timbul apabila
umat Melayu-Islam gagal memprofesionalkan
perbezaan pendapat mereka dengan mengimport
sistem berparti Barat tetapi bermentaliti
dunia ketiga. Di Barat, mereka yang kalah
dalam pilihanraya akur kehendak rakyat.
Contohnya, Kerry calon presiden USA yang
tewas mengucap taniah kepada Bush tetapi
di Malaysia, pihak yang menang dicela
dan pihak yang kalah didiskriminatif.
Akibatnya berlaku perpecahan umat Melayu-Islam
yang merugikan.
Perpecahan umat yang merugikan ini perlulah
dibanteras melalui pendidikan politik
yang sihat. Pertama, tranformasi pemikiran
politik perlu diregenerasi, dimana rakyat
haruslah dididik bahawa parti hanyalah
regalia untuk menyalurkan aspirasi politik
berasaskan pertentangan polisi dan pendekatan
dalam pentadbiran bukannya sebagai satu
cara hidup yang berpaksikan politik dalam
segala aspek kehidupan. Suasana kondusif
perlu dipupuk dengan memansuhkan amalan
yang bersifat diskriminatif. Keadilan
dituntut dalam pembahagian bantuan subsidi,
kenaikan pangkat dan pembahagian projek
dibuat tanpa melihat label parti politik.
Suasana kondusif dapat mengurangkan ketegangan
politik dan memarginalisasikan politik
dendam di kalangan ahli masyarakat.
Kedua, parti politik boleh menangani
isu-isu yang memerlukan kesepakatan politik.
Menurut Siddiq Fadzil, antara isu yang
boleh disepakati adalah isu pelajaran,
budaya dan Bahasa Melayu. Syarahan perdana
tentang Palestin anjuran ABIM yang menemukan
Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan
Tun Dr. Mahathir Mohammad haruslah diteruskan
secara kerap agar perpaduan umat Melayu-Islam
dapat dijalinkan. Kesepakatan yang termeterai
boleh membawa parti-parti yang bertentangan
ke arah politik persefahaman iaitu bersepakat
dalam isu yang memerlukan kebersamaan.
Parti politik Melayu-Islam perlu mengamalkan
prinsip politik bermoral yang berasaskan
sifat mulia-bestari agar politik dakwah
dapat direalisasikan. Menurut Dr. M. Hidayat
Nurwahid, mantan Presiden Parti Keadilan
Sejahtera Indonesia [PKS], politik dakwah
dirumuskan sebagai kebijakan yang disusun
dalam upaya mengendalikan dakwah Islam.
Politik boleh menjadikan alat dakwah jika
pemain-pemain politik mencontohi akhlak
dalam urusan politik Rasulullah SAW. Kehidupan
politik Rasulullah SAW dilatari dengan
kesederhanaan, keadilan, kebenaran, toleransi
dan penuh dengan nilai kemanusiaan yang
berakar-tunjangkan Islami haruslah ditauladani
oleh pendukung parti politik. Di Indonesia,
PKS melalui pemimpin utamanya seperti
Abdi Sumaithi, Ketua Fraksi PKS di Majlis
Permesyuaratan Rakyat dan Anton Apriyantono,
Menteri Pertanian menonjolkan kesederhanaan
dengan menolak peruntukan yang mewah kepada
mereka oleh kerajaan.
Kegagalan Parti Refah Turki dan FIS di
Algeria mengambarkan persaingan politik
yang sengit boleh menghancurkan niat baik
sesebuah parti politik. Perebutan kuasa
akan merugikan kedua-dua parti politik
yang bermusuhan. Sebagai alternatif, dianjurkan
power sharing [perkongsian kuasa] diantara
kerajaan dengan parti oposisi. Menurut
Rached al Ghannoushi, pemimpin Parti Nahdah
Tunisia menyatakan pembangkang boleh bergerak
dan bekerja dalam bidang masyarakat awam
seperti dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Penyertaan pembangkang dengan kadar kecil
akan mengurangkan ketegangan politik membolehkan
proses pengislahan masyarakat dilakukan
secara lebih berkesan. Di Malaysia, suasana
ini boleh direalisasikan kerana semua
parti politik umat Melayu-Islam telah
menonjolkan elemen Islami seperti Islam
Hadhari, Negara Islam dan Masyarakat Madani
dalam perjuangan politik mereka. Sungguh
indah jika semua parti politik ini mengorak
langkah dengan berpakat melaksanakan agenda
umat Melayu-Islam yang dicita-citakan
bersama.
Umat Melayu Islam perlu berusaha menangani
isu politik dan konflik politik kepartaian
mereka sebaik mungkin agar agenda umat
Melayu-Islam dapat dilaksanakan dalam
suasana harmonis. Parti politik Melayu-Islam
wajar mengislah diri dan masyarakat dengan
proses political socialization [pembudayaan
politik] yang sihat, bermoral dan Islami.
Teringat pesan Pak Rendra, seniman Indonesia,
“kita tidak boleh disatukan oleh
masa lalu. Kita hanya boleh disatukan
oleh masa depan”. Ini pengharapan
tinggi kepada parti umat Melayu-Islam
agar bersatu pada masa depan. Berpakatlah.