SEPERUNTUNGAN
Setelah beberapa lama kemudian, dengan tidak
disangka-sangka satu musibah besar telah menimpa kami
berturut-turut. Pertama ialah kematian sekonyong-konyong
dari Engku Haji Jaafar yang dermawan. Ia seorang yang
sangat dicintai oleh penduduk negeri, kerana ketinggian
budinya dan kepandaiannya dalam pergaulan; tidak ada
satu pun perbuatan umum di sana yang tak dicampuri oleh
Engku Haji Jaafar.
Kematiannya membawa perubahan yang bukan sedikit kepada
perhubungan kami dan rumahtangga Zainab. Dia yang telah
membuka pintu yang luas kepada saya memasuki rumahnya di
zaman hidupnya, sekarang pintu itu mahu tak mahu telah
tertutup. Sebagai seorang lain, pertemuan kami tidak
berleluasa seperti dulu lagi. Ah…. zaman semasa
anak-anak, dia telah pergi dari kalangan kami dan tak
akan kembali lagi.
Belum beberapa lama setelah budiman itu menutup matanya,
datang pula musibah baharu kepada diri saya. Ibu saya
yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi
hidup bertahun-tahun telah ditimpa sakit, sakit yang
selama ini telah melemahkan badannya, iaitu penyakit
dada. Kerapkali Zainab dan ibunya datang melihat ibuku,
dan duduk dekat kepalanya, sedang saya duduk menjaga
dengan diam dan sabar. Kerapkali juga Mak Asiah berkata;
"Ah luka lama yang belum sembuh
sekarang datang pula yang baharu. Belum lama saya
menjagai suami saya sakit, sekarang saya mesti melihat
sahabat saya menanggung sakit. Mudah-mudahan ia lekas
sembuh."
Waktu itu Zainab diam dalam menungnya, di hadapan ibu
yang sedang sakit, kerapkali ia melihat kepada saya
dengan muka yang tenang, dan agaknya bersertaan dengan
nasib yang ditanggungnya sendiri. Tetapi sepatah kata
pun tak keluar daripada mulutnya dan saya pun melihat
pula, sehingga kedua mata kami bertemu dan dari dalam
ruang-ruang mata yang hitam, seakan-akan terbayang
berulang-ulang beberapa perkataan yang penting, meskipun
lidah tiada sanggup menunjukkan ertinya.
Mak Asiah pergi bersama Zainab, di meja mereka letakkan
sepinggan bubur yang telah dididingkan, ditutup dengan
sebuah piring kecil untuk ibu, kerana dia tak kuat makan
nasi. Ketika ia akan pergi, ia berkata: "Jagalah ia
baik-baik, jika ia bangun kelak, berilah bubur ini
barang sesenduk pun."
" Baiklah Mak" — kata saya.
Pintu mereka tutupkan baik-baik dan mereka pun pergilah.
Setelah beberapa saat kemudian ibuku mengembangkan
matanya; di dalamnya hanya kelihatan tinggal cahaya
dari kekerasan hati, pada hal kekuatan telah habis sama
sekali.
Dicarinya saya dengan matanya yang telah kabur,
tangannya yang telah tinggal jangat pembalut tulang itu
mencapai-capai ke kiri ke kanan mencari tangan saya. Dengan segera saya berikan tangan kanan saya,
dipegangnya erat-erat dan dibawanya kemulutnya seraya
diciumnya, lama sekali; dari matanya titik airmata yang
panas.
"Hamid" — katanya, rupanya kekuatannya kembali sedikit; "Ibu hendak berbicara dengan engkau, penting sekali,
nak!"
"Lebih baik ibu diam dahulu, agaknya ibu terlalu
payah."
"Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan Tuhan untuk
menyampaikan bicara ini kepadamu."
"Apakah yang ibu maksudkan?"
"Sebagai seorang yang telah lama hidup, ibu telah
mengetahui suatu rahsia pada dirimu."
" Rahsia apa ibu?"
"Engkau cinta kepada Zainab!"
"Ah, tidak ibu, itu barang yang amat mustahil dan
itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda tak cinta
kepadanya dan takut akan cinta, anakanda belum kenal "Cinta."
Anakanda tak akan memperbuat barang yang sesia dan
percuma, anakanda tahu bahawa jika anakanda menyerahkan
cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang
mencurahkan semangkuk air tawar ke dalam lautan yang
maha luas; laut tak akan berubah sifatnya kerana
semangkuk air itu."
"Wahai, dari susunan katamu itu telah dapat ibu
membuktikan bahawa engkau sedang diserang penyakit
cinta. Takut akan kena cinta, itulah dia sifat daripada
cinta; cinta itulah yang telah merupakan dirinya menjadi
suatu perbuatan, cinta itu kerapkali berupa putus
harapan, takut, cemburu, hiba hati terkadang-kadang
berani. Di hadapan ibumu yang telah lama merasai pahit
dan manis kehidupan tidaklah dapat engkau sembunyikan
lagi. Mataku telah kabur, tetapi hatiku masih
terang-benderang."
"Anakku…… sekarang cintamu masih sifat angan-angan,
cinta itu kadang-kadang hanya menurutkan perintah hati,
bukan menurutkan pendapatan otak.
Dari belum berbahaya sebelum ia mendalam,
kerapkali - kalau yang kena cinta tak pandai - ia
merosakkan kemahuan dan kekerasan hati lelaki.
Kalau engkau perturutkan tetap engkau menjadi seorang
anak yang berputus asa, apa lagi kalau cinta itu
tertolak, terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di
sekelilingnya….."Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu, jangan
timbul-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga,
bahawa emas tak setara dengan loyang, sutera tak
sebangsa dengan benang."
"Ayahnya, orang yang telah memenuhi cita-cita kita
dengan nikmat, sekarang tak ada lagi, ertinya telah
putus tali yang memperhubungkan kita dengan rumahtangga
orang di sana. Meski pun ibu Zainab seorang yang penuh
dengan budi pekerti. Tentu saja kebaikannya kepada kita
tidak lagi sebagai suaminya hidup. Apa lagi
famili-famili mereka yang bertali darah sudah banyak
yang akan turut mengatur keadaan pergaulan rumahtangga
itu, iaitu orang-orang baharu yang tidak kenal akan kita."
"Memang anak,….. cinta itu "Adil" sifatnya, Allah
telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak
memperbeza-bezakan antara raja dengan orang
minta-minta, tiada menyisihkan orang kaya dengan orang
miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan
kadang-kadang tidak juga berbeza baginya antara bangsa
dengan bangsa, tetapi aturan pergaulan hidup, tiada
membiarkan yang demikian itu berlaku. Orang sebagai kita
ini telah dicap dengan darjat "Bawah" atau "Kebanyakkan" sedang mereka diberi nama "Cabang atas";
cabang atas ada kalanya kerana pangkat dan ada kalanya
kerana harta benda. Cincin emas orang sayang hendak
memberi bermatakan kaca, tentu dicarikan orang, biar
lama, permata intan berlian, atau zamrud dan nilam yang
telah diasah oleh orang rantai perintang-perintang
hatinya, kerana lama menanggung dalam penjara."
"Meski pun Zainab suka kepada engkau…. kerana agaknya
batinnya suci daripada perasaan takbur dan mengangkat
dirinya, tidaklah langsung kalau ibunya tak suka.
Diletakkan ibunya suka, bermuafakat orang itu
dahulu dengan kaum kerabat, handai dan taulan.
Kalau mereka tak sepakat, waktu itulah kelak kau
diserang oleh putus-asa, oleh malu, dan kadang-kadang
memberi melarat kepada jiwamu. Sebab api masih belum
besar tidak engkau padami lebih dahulu."
"Tidak ada yang lebih baik untuk melupakan hal itu
sebelum ia mendalam, sebab cinta kepada orang yang
demikian, adalah cinta arwah ayahmu hendak kembali ke
dunia, kerana ia berbesar hati melihat engkau telah
besar. Ia tahu dan melihat segala apa yang kejadian
dalam dunia ini, dan ia ingin sekali hendak datang.
Tetapi sayang…. alam dunia telah terbatas jauh sekali
dengan alam barzakh….."
Lama saya termenung mendengarkan perbicaraan ibu itu,
pertama kerana amat dalam penyelidikannya kepada faham
hidup ini, kedua memikirkan kekuatan jiwanya yang
timbul, seakan-akan malaikat yang memimpin dia sedang
berbicara, yang tidak saya sangka-sangka akan sejelas
itu. Beberapa saat antaranya saya pun menjawab: "Terima
kasih, ibu, nasihat ibu masuk benar ke dalam hatiku,
semuanya benar belaka, sebenarnya sudah lama pula
anakanda merasa yang demikian, sehingga dengan hati
sendiri anakanda berjanji hendak melupakannya, yang amat
ajaib ialah peperangan otak dengan hati. Tetapi bila
kelihatan rumahtangga, atau kelihatan rupanya sendiri,
dan kadang-kadang bila namanya disebut orang hati ini
lupa akan perintah otak, ia kembali berdebar, ia surut
kepada kenangan-kenangannya yang lama. Inilah yang
kerapkali yang mengalahkan anakanda."
"Ah, anakku, pandai benar engkau mewartakan nasibmu
kepada ibumu! Mengapa engkau segila itu benar, pada hal
agaknya engkau belum mengetahui bagaimana pula perasaan
Zainab kepada dirimu?"
"Wahai ibu, cuma anakanda tahu bahawa cintaku mendapat
sambutan dengan semestinya, agaknya tidaklah separah ini
benar luka hatiku, kerana cinta yang dibalas itulah ubat
yang paling mujarab bagi seorang anak muda dalam
hidupnya, tak akan lebih pintanya daripada itu, hati
anak muda akan besar dan merasa beruntung, jika anakanda
ketahui bahawa airmata anakanda yang selama ini telah
banyak tercurah tidak bagai air yang tenggelam di pasir;
bahawa pengharapan dalam menuju
hidup tak terhambat
ditengah jalan; bahawa cita-cita hendak memandangi
langit tidak di halangi oleh awan. Cinta anakanda
kepadanya bukan mencintai tubuhnya dan bentuk badannya,
tetapi jiwa anakandalah yang mencintai jiwanya,
kecintaan anakanda bukan dipeterikan oleh kebiasaan
bergaul dan bukan pula kerana kepandaian menyusun
surat-surat kiriman. Kebebasan pergaulan bisa ditutupi
dengan perangai yang dibuat-buat dan kepintaran
mengarang surat dapat pula menyembunyikan kepalsuan
hati. Anakanda menyintai Zainab kerana budinya; di dalam
matanya ada terkandung suatu lukisan hati yang suci dan
bersih."
"Anakku, sudah tinggi fikiranmu rupanya, sudah dapat
engkau menerangkan perasaan hati dengan perkataan yang
cukup, sudah menurun pada dirimu kelebihan ayahmu. Ibu
tak dapat menyambung perkataan lagi….. perkataanmu hanya
ibu sambut dengan airmata. Hanya kepada Tuhan ibu
berharap, mudah-mudahan Dia memberikan anugerah dan
perlindungan akan dirimu. Dia yang telah menanamkan
perasaan itu ke dalam hatimu, Dia pula yang berkuasa
mencabutnya. Mudah-mudahan itu hanya suatu khayal, suatu
angan-angan yang kerapkali mempengaruhi hati anak muda,
yang dapat hilang kerana pergantian siang dan pertukaran
malam."
"Mudah-mudahan," jawab saya.
Demikianlah nasihat kepada saya, setelah itu kekuatannya
tak ada lagi. Dari saat ke saat, hanya yang kelihatan
kepayahannya menyelesaikan nafas yang turun naik.
Kadang-kadang dilihatnya saya tenang-tenang dan
dingangakan mulutnya sedikit minta minum. Ubat-ubatnya
tak memberi faedah lagi. Tidak beberapa malam setelah
dia memberi nasihat itu, datanglah masa yang
ditunggu-tunggunya, masa berpindah daripada
alam yang sempit kepada alam yang lapang. Sementara saya
asyik meminumkan ubat, di tangan kanan saya terpegang
senduk dan ditangan
kiri terpegang gelas. Ia melihat kepada saya
tenang-tenang,
alamat perpisahan yang akhir. Dari mulutnya keluar
kalimah suci, bersamaan dengan kepergian nyawanya ke
dalam alam yang baqa', yang di sana tempat manusia lepas
daripada segala penyakit.
Saya tercengang dan seakan-akan bingung, di tangan kanan
saya senduk masih terpegang, di tangan kiri saya berisi
ubat; saya lihat ke atas meja, di sana terletak beberapa
botol yang telah kosong dan ramuan dukun yang telah
layu, limau manis yang dihantarkan oleh Zainab pagi hari
itu baharu diusiknya seulas, lebihnya masih tinggal
terletak di atas meja. Waktu itulah baharu saya insaf
bahawa itu bukan perkara senduk, gelas, bukan perkara ubat
dan ramuan, tetapi perkara ajal semata-mata….
Sekarang saya sudah tinggal sebatang kara di dunia ini!
|